AM

SELURUH PENDUDUK SARAWAK DISERU JAYAKAN PROGRAM SATU RUMAH SATU JALUR GEMILANG

01/08/2024 05:11 PM

KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Seluruh penduduk Sarawak diminta untuk bersama-sama menjayakan inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang yang dicetuskan Kementerian Komunikasi sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak Helmy Hamid berkata penyertaan semua lapisan masyarakat di Sarawak penting memandangkan inisiatif itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dan sebagai tanda menghargai pergorbanan pemimpin terdahulu untuk mengecapi kemerdekaan.

“Seluruh penduduk sama ada di bandar dan luar bandar diseru bersama-sama menjayakan semua program-program Ekspresi yang turut akan diadakan di setiap daerah bagi meningkatkan kesedaran bahawa tarikh keramat itu penting dalam sejarah pembentukan negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak akan diadakan pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen CIDB Kuching dan akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pelbagai acara menarik dirancang bagi memeriahkan majlis pelancaran itu antaranya Mini Karnival Komuniti MADANI, pameran, persembahan hiburan PENTARAMA, aktiviti interaktif kenegaraan, Jualan Rahmah dan sebagainya.

Helmy berkata selain itu majlis perlepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang (KMJG) peringkat Sarawak juga akan diadakan pada hari berkenaan.

Beliau berkata konvoi yang akan disertai oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin bersama kira-kira 140 orang peserta itu akan bergerak menuju ke Kampung Bratan sebagai destinasi pertama kembara tahun ini.

“Kemudian konvoi itu akan bergerak ke setiap daerah dan bahagian sehingga ke Miri dan berhenti di Sibu yang merupakan tempat utama sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 pada 31 Ogos ini. Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri pula akan diadakan pada 16 Sept di Sri Aman,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai program yang dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan boleh melayari saluran rasmi HKHM 2024 di www.merdeka360.my dan media sosial Facebook, Instagram, X dan TikTok Merdeka360.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan