AM

ANWAR TERIMA KUNJUNGAN KSN BAHARU

12/08/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. 

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata beliau telah menyampaikan amanat kepada Shamsul Azri supaya menjunjung tinggi prinsip tatakelola dalam menggalas amanah, serta perlu bekerja keras untuk memastikan dasar kerajaan berjalan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan negara.

“Perbincangan kami turut menyentuh mengenai struktur gaji baharu penjawat awam yang bakal diumumkan ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) dan dalam pembentangan Belanjawan 2025, insya-Allah,” menurut catatan itu. 

Shamsul Azri yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), dilantik sebagai KSN ke-16 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan