AM

PENAMBAHAN BSH TANDA KERAJAAN HARGAI JASA, PRIHATIN KEPERLUAN VETERAN ATM

22/08/2024 11:36 AM

KUANTAN, 22 Ogos (Bernama) -- Penambahan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen membuktikan kerajaan menghargai jasa dan cakna dengan keperluan golongan berkenaan.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Rashid Awang, 62, berterima kasih kepada kerajaan yang masih mengingati veteran seperti beliau walaupun sudah lama meninggalkan perkhidmatan sekitar 30 tahun yang lalu.

Bapa kepada enam anak yang menetap di Tanah Putih Baru, di sini itu turut menghargai usaha kerajaan yang tidak meminggirkan veteran ATM yang tidak berpencen dan berpendapat bantuan tersebut wajar digunakan sebaiknya ketika meniti usia emas.

Memulakan perkhidmatan sekitar 1981 sebelum berhenti pada 1994 dengan pangkat Laskar Kelas 1, beliau juga tidak menjangkakan akan menerima penambahan bantuan itu, yang dianggap sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Selepas berhenti, saya hanya lakukan kerja sampingan dan BSH menjadi satu-satunya sumber pendapatan untuk perberlanjaan harian. Saya tidak mahu susahkan dan bergantung kepada anak-anak kerana mereka sudah ada keluarga masing-masing yang perlu dijaga.

"Saya menganggap bantuan ini sebagai tanda kerajaan masih menghargai jasa kami meskipun tempoh perkhidmatan tidak lama. Bantuan yang diterima sebelum ini memang saya gunakan untuk barang keperluan dan ubatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) sebelum ini, mengumumkan BSH bagi veteran ATM tidak berpencen akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak.

Sementara itu, Sayed Mohd Shaperi Tuan Sahid, 62, berkata beliau berterima kasih atas ingatan kerajaan terhadap golongan veteran seperti beliau dan akan menggunakan bantuan berkenaan sebaik mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Meninggalkan kerjaya beruniform berkenaan pada 1994, bekas anggota TLDM itu berkata wang tambahan BSH yang diterima, boleh digunakan untuk simpanan ketika kecemasan. 

"Saya memang tidak bekerja sekarang dan BSH merupakan sumber pendapatan selain anak-anak. Saya lega sangat dengan kenaikan ini yang akan saya gunakan untuk perbelanjaan harian dan simpan sedikit wang itu," kata bapa kepada lima anak yang berasal dari Terengganu itu. 

Seorang lagi veteran Yahaya Ahmad, 69, berkata beliau bersyukur dengan inisiatif kerajaan yang prihatin dengan keperluan rakyat semasa termasuk bekas anggota ATM.

"Alhamdulillah, saya setuju dengan usaha kerajaan untuk tingkatkan BSH. Ini memang rezeki untuk keluarga kami, dan bantuan ini telah meringankan beban perbelanjaan kami sebelum ini," kata bekas anggota Tentera Darat yang menetap di Jerantut itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan