EKONOMI

SESB MULA BINA BESS TERBESAR DI ASIA TENGGARA

11/09/2024 12:39 PM

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan membangunkan infrastruktur Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) dan simpanan tenaga sebanyak 400 MWj di Lahad Datu, yang bakal menjadi sistem BESS terbesar di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yaakob Jaafar berkata projek yang bermula September ini dan dijangka siap pada 30 Jun 2025 akan meningkatkan kapasiti rizab margin Grid Sabah pada masa puncak serta menyokong penambahan kapasiti sumber tenaga solar iaitu Solar Berskala Besar. 

Beliau berkata SESB telah menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi membangunkan projek berkenaan.

“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti penjanaan di Grid Sabah, di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lepas, Mohd Yaakob telah mengadakan lawatan ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Dam Road, Lahad Datu bagi meninjau projek menaik taraf PMU Dam Road kepada voltan 275kV yang akan menjadi pencawang bagi titik suntikan BESS.

Kepercayaan yang diberi oleh pihak ECoS dan kerajaan Sabah kepada SESB bagi melaksanakan BESS akan digalas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan projek tesebut berjaya disiapkan dalam tempoh disasarkan, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan