AM

PENGUNJUNG PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 SAYANGI SABAH MANFAAT PELBAGAI AKTIVITI TERSEDIA

18/10/2024 06:21 PM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Ribuan pengunjung di sekitar bandar raya ini tidak melepaskan peluang mengunjungi Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah, bagi memanfaatkan pelbagai program termasuk Jualan Rahmah yang menawarkan harga rendah kepada pembeli.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung berpusu-pusu untuk dapatkan barangan keperluan asas di lokasi Jualan Rahmah berkenaan yang menawarkan diskaun hingga 30 peratus.

Seorang pengunjung, Lendiriani L Caladius, 39, berkata walaupun keadaan lalu lintas yang agak sibuk, beliau tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Jualan Rahmah berkenaan, untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang jauh lebih murah.

“Sangat-sangat berbaloi walaupun jalan sesak dan agak sukar mendapatkan parking, namun saya berpuas hati kerana akhirnya saya dapat barangan keperluan dengan harga yang murah...tadi saya beli kicap manis dengan harga RM3.70 sebotol, iaitu jauh lebih murah berbanding dengan harga asal RM5.25.

“Hari Ahad saya akan bawa suami saya datang sekali lagi untuk membeli barangan keperluan yang lain...kerana peluang seperti ini tidak selalu ada...namun saya berharap kerajaan kerap melaksanakan program seumpama ini,” katanya kepada Bernama di lokasi jualan berkenaan di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Jerry Soibik, 40, berkata selain dapat membeli berangan keperluan dengan harga yang murah, orang ramai berpeluang melihat pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kebetulan anak saya sangat berminat dengan tentera terutamanya senjata api yang dipamerkan...oleh itu selain datang untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah, saya juga ambil kesempatan membawa anak-anak ke pelbagai pameran yang ada,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Mohd Ridzuan Sani, 18, berkata beliau dan rakan-rakan hadir ke program berkenaan untuk melihat pameran pendidikan yang disediakan.

“Kami mengunjungi Pameran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Karnival Kerjaya, dan kami berharap program ini akan bermanfaat kepada kami sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang seterusnya,” katanya. 

Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.

Bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju, serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan