EKONOMI

MALAYSIA MENYERLAH SEBAGAI SINAR HARAPAN DALAM KESTABILAN DAN KEMAJUAN DI SEBALIK KETIDAKTENTUAN GLOBAL

16/12/2024 08:27 AM


From Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Malaysia menyerlah sebagai sinar harapan dalam kestabilan dan kemajuan di Asia Tenggara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi jangkaan dalam tiga suku pertama tahun ini dalam era kemajuan teknologi di sebalik ketidaktentuan global dan persaingan sengit.

KDNK negara meningkat 4.2 peratus, 5.9 dan 5.3 masing-masing dalam tempoh suku ketiga, melepasi jangkaan awal, ia menarik pelabur asing untuk melabur dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor dan pusat data di Malaysia.

Berita baiknya, pertumbuhan disokong oleh ringgit mencatatkan prestasi positif, kestabilan politik, inflasi rendah dan sektor pelancongan berkembang maju yang merupakan prestasi membanggakan dalam persekitaran ketidaktentuan dalam dunia dipenuhi cabaran perdagangan seperti kecenderungan untuk melakukan langkah perlindungan ketika ini.

Langkah perlindungan (protectionism) bermaksud dasar ekonomi yang menyekat kemasukan barangan import dari negara-negara asing melalui langkah tertentu seperti pengenaan tarif pada barangan import, kuota import serta pelbagai peraturan ekonomi lain.

Di sebalik kebimbangan pada awal 2024, ringgit naik sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar US pada suku ketiga dan mencatat prestasi yang baik berbanding mata wang lain.

Selain itu, faktor penting turut menyumbang prestasi baik ekonomi itu adalah perbelanjaan domestik yang pesat, aktiviti pelaburan kukuh dan peningkatan berterusan dalam eksport.

Pencapaian membanggakan yang lain termasuk lebihan imbangan pembayaran akaun semasa (CAB) sebanyak RM2.2 bilion atau 0.4 peratus daripada KDNK pada suku ketiga.

Antara pendapatan utama negara, hasil petroleum dianggarkan lebih rendah pada RM64 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK kerana Malaysia terus bergantung kepada hasil minyak dan gas.

Hasil eksport daripada minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit pula dijangka mencecah RM110 bilion berikutan permintaan eksport lebih tinggi terutamanya dari China.

Dalam mengetuai usaha untuk ekonomi lebih baik, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keupayaan Malaysia untuk menghadapi keadaan mencabar adalah disebabkan asas ekonominya yang kukuh.

Daya tahan Malaysia terserlah walaupun perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, perang Rusia-Ukraine, persaingan sengit untuk pelaburan dan perlindungan seperti yang ditunjukkan menerusi tarif lebih tinggi dikenakan oleh Amerika Syarikat, contohnya pada panel solar.

Penegasan Anwar bahawa rangka kerja Ekonomi MADANI memainkan peranan penting dalam memupuk aktiviti nilai tambah lebih tinggi melalui pendigitalan dan teknologi yang meningkatkan daya saing Malaysia adalah sangat wajar.

Berlatarkan latar belakang sedemikian, beliau menyatakan keyakinan bahawa KDNK negara akan berlegar antara 4.8 dan 5.3 peratus untuk 2024 yang akan menetapkan tahap pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus tahun depan.

 

Perdagangan Kekal Berdaya Tahan

 

Perdagangan Malaysia mencatatkan nilai berkala tertinggi, berkembang 9.3 peratus kepada RM2.383 trilion dalam tempoh 10 bulan pertama 2024 daripada tempoh sama pada 2023.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata negara mencatat lebihan dagangan sebanyak RM102.77 bilion dalam tempoh itu dengan eksport meningkat 4.8 peratus kepada RM1.243 trilion manakala import melonjak sebanyak 14.6 peratus kepada RM1.140 trilion.

Untuk sepanjang tahun, perdagangan diunjurkan berkembang sebanyak 9.4 peratus dengan eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 5.6 dan 13.8 peratus.

Bagaimanapun, Malaysia kekal terdedah kepada kelemahan global di sebalik perkembangan positif tersebut termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan prospek pertumbuhan berbeza-beza melibatkan rakan dagangan terutamanya China.

Mengambil langkah berhati-hati akan menjadi keutamaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana ia memantau dengan teliti risiko untuk berdagang dan mengatasinya terutamanya melalui aktiviti promosi yang dipergiatkan dan membuka pasaran eksport baharu.

Terdapat kebimbangan sekarang susulan amaran Presiden AS Donald Trump bahawa Washington akan mengenakan tarif ke atas negara-negara BRIC, AS telah pun mengenakan tarif ke atas panel solar dari Malaysia untuk melindungi pasaran panel solarnya.

 

Malaysia Tarik Pelaburan RM160 bilion pada Separuh Pertama

 

Landskap pelaburan Malaysia pada separuh pertama 2024 kukuh dengan minat yang semakin meningkat dalam teknologi, industri hijau dan sektor pembuatan termaju.

Malaysia menarik RM160 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 18.0 peratus daripada RM135.6 bilion pada separuh pertama tahun lepas.

Pelaburan domestik menyumbang 53.4 peratus atau RM85.4 bilion manakala pelaburan asing menyumbang 46.6 peratus atau RM74.6 bilion, mewakili pertumbuhan dua angka tahun ke tahun masing-masing sebanyak 19.1 peratus dan 16.7 peratus.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan menarik sebahagian besar pelaburan daripada perkhidmatan hartanah dan subsektor maklumat dan komunikasi serta pembuatan elektrik dan elektronik (E&E).

Walaupun ini terdiri daripada sektor tradisional, kerajaan MADANI bertekad untuk meletakkan Malaysia juga sebagai destinasi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data mampan di Asia Tenggara untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan global terkemuka.

Malaysia terus meningkatkan rantaian nilai industri cip dengan beberapa cadangan pelaburan yang dibuat oleh syarikat terkemuka dalam teknologi tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh ketegangan perdagangan AS-China.

Ia termasuk pelaburan US$2.2 bilion (RM9.8 bilion) Microsoft untuk infrastruktur teknologi awan dan AI dalam tempoh empat tahun akan datang, pelaburan US$2 bilion (RM8.92 bilion) Google untuk menempatkan pusat data pertama dan rantau Google Cloud serta Amazon Web Services (AWS) US$6.2 bilion (RM27.65 bilion) sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya sehingga 2038.

Pelaburan asing lain yang ketara ialah gergasi semikonduktor Jerman Infineon Technologies AG iaitu tambahan €5 bilion (RM24 bilion) di Kulim, Kedah, dan cadangan pelaburan US$1.2 bilion (RM5.35 bilion) Enovix Corporation dalam tempoh 15 tahun akan datang.

 

Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS

 

Pada Oktober tahun ini, Malaysia telah diterima masuk sebagai antara 13 negara rakan kerjasama dalam BRICS antara kerajaan, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.

Kemasukan ke dalam BRICS serta menjadi pengerusi ASEAN tahun depan (2025) sudah pasti akan meletakkan negara sebagai jambatan dalam memperjuangkan daya tahan ekonomi serantau dan kerjasama antara kedua-dua blok itu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Mohd Sedek Jantan berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk menggalakkan ekonomi Asia Tenggara meneroka potensi manfaat ekonomi dengan menjajarkan negara dengan BRICS.

 

“Memandangkan kedua-dua ASEAN dan BRICS terdiri daripada pasaran baharu muncul dengan trajektori pertumbuhan ekonomi ketara terdapat asas kukuh untuk meneroka kepentingan yang saling melengkapi,” katanya.

Selain Malaysia, 12 negara lain telah dimasukkan secara rasmi ke BRICS sebagai negara rakan iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

 

Momentum Pertumbuhan Sihat Akan Berterusan Pada 2025

 

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan pandangan bahawa pertumbuhan Malaysia adalah sangat positif, disokong oleh permintaan domestik yang pesat dan peningkatan semula dalam eksport walaupun menghadapi cabaran global.

“Saya menjangkakan Malaysia akan mempunyai satu lagi pertumbuhan positif tahun depan dengan eksport yang lebih tinggi dan ringgit akan terus mengukuh dan Bursa Malaysia melihat peningkatan aliran masuk modal daripada pelabur portfolio asing.

“Ini disebabkan Malaysia telah melabur banyak dalam infrastruktur seperti rangkaian 5G dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan siap tidak lama lagi serta memudahkan proses untuk menubuhkan perniagaan di negara ini,” katanya kepada Bernama .

Beliau berkata ia akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara dan menggalakkan perniagaan tempatan berkembang ke peringkat global dibantu oleh pelbagai perjanjian unilateral yang dilaksanakan kerajaan.

 

Mengurangkan Kebergantungan Perdagangan kepada Singapura

 

Pakar Ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology (MUST) berkata adalah penting bagi kerajaan dalam jangka panjang untuk mengurangkan pergantungan kepada Singapura yang merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia.

Singapura mempunyai perdagangan entrepot, ia mengimport dari negara jiran dan mengeksport kembali ke Malaysia dan sebaliknya.

Bagi jangka panjang, kita (Malaysia) perlu melihat bagaimana untuk mengurangkan pergantungan kepada perdagangan melalui Singapura.

“Jika boleh, kita elakkan berniaga melalui orang tengah. Kita mahu berdagang secara langsung dengan pengimport dan pengeksport," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan itu dibangkitkan oleh perniagaan tempatan yang terdiri daripada pengeksport dan pengimport.

Mereka mungkin sudah biasa (selesa) berurusan dengan Singapura dan melihat perdagangan melalui negara itu sebagai cara yang paling mudah.

“Jadi mereka tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pembeli yang boleh mereka beli secara langsung. Mungkin insentif kerajaan diperlukan untuk mendorong peniaga kita membeli terus daripada sumber asal atau menjual terus kepada pembeli akhir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan