BEIJING, 18 Julai (Bernama-CMG) -- Isteri Presiden China Xi Jinping, Peng Liyuan menghadiri sesi interaktif golongan belia China-Amerika Syarikat (AS) "Bond with Kuliang" yang diadakan di sini, pada Khamis.
Berucap pada sesi berkenaan, Peng berkata bahawa “kisah Kuliang” yang telah disebar selama 100 tahun, serta persahabatan antara Presiden Xi dengan sahabat lamanya dari Iowa yang menjangkau masa lebih 40 tahun adalah lambang persahabatan China dan AS.
"China dan AS mempunyai sejarah, budaya dan bahasa yang berbeza. Namun rakyat kedua-dua negara kita menyayangi keluarga, baik hati, rajin dan jujur, dan mampu menjadi sahabat dan rakan kongsi yang baik," kata Peng.
Dalam tempoh lebih setahun sejak inisiatif Presiden Xi untuk menjemput 50,000 remaja AS ke China untuk program pertukaran dan pengajian dalam lima tahun, ramai pemuda AS telah melawat ke negara Tembok Besar ini.
"Remaja adalah masa depan negara, dan juga masa depan persahabatan sesama rakyat. Saya berharap anda boleh menjadi pewaris persahabatan antara China dan AS, mempromosikan kedamaian dan persahabatan, membina jambatan persahabatan China-AS, dan menyumbangkan tenaga muda demi menciptakan masa depan yang indah bagi kedua-dua negara," kata Peng.
Pada sesi itu, pengasas pertubuhan “Sahabat Kuliang” AS, Elyn MacInnis, dan penduduk dari Iowa, Luca Berrone telah berkongsi “kisah Kuliang” serta pengalaman mereka tentang pertukaran dan kerjasama China-AS.
Mereka menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Presiden Xi terhadap belia kedua-dua negara, sementara menyatakan komitmen untuk terus menyumbang untuk mempromosikan persahabatan antara kedua-dua negara.
Selain itu, video mengenai Minggu Koir Belia China-AS "Bond with Kuliang" turut ditayangkan pada sesi interaktif itu.
– BERNAMA-CMG