KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan berpandangan pungutan hasil di bawah cukai kepenggunaan melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) wajar diteruskan kerana ia merupakan cukai sedia ada yang telah difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata SST juga masih boleh ditambah baik untuk menjana hasil tambahan dan memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan, yang mana sudah digunakan lebih 40 tahun.
“Jika dibandingan untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), ia memerlukan tempoh masa persediaan sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk penyediaan dan mengemas kini sistem pelaksanaan GST,” katanya.
MOF berkata demikian menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu kelebihan sistem SST berbanding GST.
Kementerian itu berkata dengan peluasan skop SST, hasil tambahan yang akan dijana sebanyak RM10 bilion setahun bermula 2026.
Ia juga berkata GST dan SST mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Di bawah GST, cukai penggunaan dikenakan di pelbagai peringkat tetapi disertakan dengan mekanisme kredit cukai input.
“Bagi SST pula, cukai penggunaan terlibat hanya dikenakan pada satu peringkat, tanpa mekanisme kredit cukai input. Bagaimanapun, di bawah SST terdapat kemudahan pengecualian tertentu diberikan menjadikan sistem SST boleh dilaksanakan secara bersasar,” katanya.
-- BERNAMA