AM

JUALAN AGRO MADANI 2025 CATAT NILAI PENJIMATAN PENGGUNA RM30.3 JUTA

22/05/2026 07:59 PM

KANGAR, 22 Mei (Bernama) -- Penganjuran Program Jualan Agro MADANI (JAM) merekodkan nilai penjimatan kepada pengguna sebanyak RM30.3 juta menerusi pelaksanaan 4,695 program di seluruh negara pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata program itu turut memberikan manfaat kepada hampir 27.58 juta isi rumah di seluruh negara.

“FAMA akan terus memperluaskan pelaksanaan Program JAM di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati manfaat penjimatan harga, di samping membantu usahawan meningkatkan daya saing dan pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

FAMA mengeluarkan kenyataan itu bersempena penganjuran Program JAM Edisi Perlis di Pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Selayang hari ini, yang majlis perasmiannya disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ke program bertemakan “Pemasyhuran Jualan Agro MADANI Edisi Perlis 2026” itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata penganjuran JAM Edisi Perlis itu menjadi platform terbaik dalam mempromosikan produk premium negeri seperti Harumanis Perlis kepada pengguna di Lembah Klang, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta menyokong pembangunan ekosistem pemasaran agro tempatan yang lebih mampan. 

Beliau berkata sebanyak dua tan metrik bekalan Harumanis turut dibawa khas dari Perlis bagi memenuhi permintaan pengunjung selain terdapat edaran percuma sayur-sayuran dan Pulut Kucai Harumanis kepada pengunjung terawal.

“Antara tarikan utama program ialah jualan Happy Hour Kombo MADANI pada harga serendah RM5 bagi 100 set terawal, selain jualan Harumanis Perlis premium sebanyak 1,500 kilogram pada harga promosi RM100 bagi setiap kotak seberat tiga kilogram.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan ayam segar pada harga RM10 seekor, daging tempatan RM25 sekilogram serta buah Longan Kristal Sarawak pada harga RM15 sekilogram,” katanya.

Abdul Rashid berkata sehingga 12 tengah hari tadi, nilai jualan yang dicatatkan menerusi program itu sebanyak RM94,000 yang melebihi sasaran RM60,000 dengan penglibatan 30 usahawan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan