KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kos masa henti operasi dalam persekitaran operasi yang panas, lembap dan di kawasan pesisir pantai di Malaysia semakin sukar untuk diabaikan oleh pengendali industri memandangkan gangguan cuaca dan tempoh penyelenggaraan yang lebih kerap.
Menurut pengeluar salutan pelindung perindustrian Royalton Coating Sdn Bhd (Royalton Coating), pengendali yang mengendalikan aset terdedah kepada kakisan dalam sektor marin, luar pantai tenaga, pengangkutan dan perindustrian berat berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan dengan lebih cepat dan konsisten.
Pengarah urusannya Adrian Lim berkata perancangan penyelenggaraan di Asia Tenggara tidak lagi boleh dirancang berdasarkan keadaan ideal.
"Pengendali bekerja dalam keadaan panas lembap yang berterusan, takat embun, cuaca yang tidak dapat diramalkan dan tempoh penutupan yang semakin terhad.
“Persoalannya hari ini bukan sekadar sama ada sesebuah sistem berfungsi secara teknikal, tetapi sama ada ia membolehkan kerja disiapkan tepat pada masanya dan aset kekal berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata memandangkan kos masa henti operasi menjadi lebih mahal, strategi perlindungan perlu mencerminkan keadaan operasi sebenar dan bukan andaian ideal.
Menurut syarikat itu, gangguan cuaca yang tidak dapat diramal, takat embun dan selang masa salutan semula yang dilanjutkan boleh melambatkan aktiviti penyelenggaraan, memanjangkan masa lebih daripada yang dirancang dan mengurangkan produktiviti di tapak.
Impak besar akibat daripada tempoh henti operasi yang lebih lama termasuklah kelewatan untuk beroperasi semula, kehilangan peluang pendapatan, ketidakcekapan buruh yang lebih tinggi, pengurangan fleksibiliti dalam perancangan penutupan dan kesan sampingan yang lebih meluas merentasi operasi dan rantaian bekalan.
Memandangkan jangkaan peningkatan tempoh beroperasi, syarikat itu percaya industri tidak lagi boleh menganggap kelewatan penyelenggaraan berkaitan iklim sebagai satu rutin biasa.
“Royalton Coating percaya cabaran ini semakin ketara apabila aktiviti perindustrian dan permintaan infrastruktur terus meningkat di seluruh Malaysia dan peringkat serantau, terutamanya dalam persekitaran di mana pendedahan garam, kelembapan dan cuaca yang tidak menentu merupakan sebahagian daripada realiti operasi harian.
"Dalam keadaan ini, isu sebenar bukan lagi sekadar sama ada sistem perlindungan berfungsi secara teori, tetapi sama ada pasukan penyelenggaraan boleh menyelesaikan kerja dalam kekangan operasi dan cuaca sebenar," menurut kenyataan itu.
Bagi mengurangkan kelewatan penyelenggaraan berkaitan iklim ini, Royalton Coating memaklumkan sistem uretana pengawet lembapan (MCU) komponen tunggalnya adalah jawapan praktikal terhadap perubahan ini.
Sistem itu yang dibangunkan bagi persekitaran lembapan tinggi menawarkan masa salutan semula standard sekitar empat jam, dengan pemangkin pengawetan cepat yang mengurangkan masa salutan semula kepada sepantas 45 minit.
Menurut syarikat itu, sistem MCU boleh bertahan hingga 99 peratus kelembapan tanpa takat embun, membantu pasukan penyelenggaraan menyelesaikan pelaksanaan berbilang lapisan dalam satu hari bekerja dan mengurangkan kelewatan yang disebabkan oleh keadaan tapak yang tidak dapat diramalkan.
"Pelaksanaan ini boleh digunakan merentasi julat suhu yang luas dari -20°C (Celsius) hingga 50°C, membolehkan kerja dijalankan di iklim sejuk di bahagian utara dan persekitaran tropika yang panas, sekali gus mengurangkan masa henti bermusim dan memberikan fleksibiliti kepada pemilik aset dalam menjadualkan tempoh penyelenggaraan," katanya.
Royalton Coating yang ditubuhkan pada 1991 merupakan pengeluar tempatan salutan pelindung perindustrian. Syarikat itu melakar kejayaan penting dengan menjadi pemegang lesen serantau eksklusif bagi teknologi MCU-Coatings di Asia Tenggara.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam inovasi dan kini berlandaskan teknologi MCU, Royalton menjadi penanda aras prestasi dalam persekitaran yang paling mencabar di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
