SANDAKAN, 22 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan penahanan 4,107 migran dan 316 penyeludup di seluruh negara bagi tempoh 2010 hingga April tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara susulan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.
“Statistik menunjukkan tahanan migran tertinggi dari tiga negara, iaitu Myanmar (1,932 orang), Indonesia (1,727 orang) dan Filipina (180 orang), situasi itu membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius.
“Justeru, hal ini memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan oleh pihak berkuasa di semua kawasan perairan negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Operasi Redback 22 / 2026 (Op Redback), di sini hari ini.
Mohd Zawawi berkata berikutan itu juga APMM membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran melibatkan 19 penyeludup serta 233 migran.
“Daripada jumlah itu, majoriti penyeludup yang ditahan membabitkan Indonesia (13 orang), Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang rakyat tempatan,” katanya.
Sementara itu, mengenai program hari ini, beliau berkata Ops Redback dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) sejak 18 Mei lepas di perairan Sandakan, dan operasi berkenaan merupakan kerjasama penguatkuasaan maritim antara Malaysia dan Australia yang terjalin sejak 2014.
“Operasi dilakukan APMM dan ABF memberikan fokus kepada pembanterasan jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan migran, penyeludupan barang kawalan, usaha menyelamatkan nyawa di laut selain penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU),” katanya.
Mohd Zawawi berkata rekod tangkapan 4,107 migran itu jelas menunjukkan kerjasama strategik, termasuk bersama ABF berhasil dan usaha penguatkuasaan perlu diteruskan lebih agresif dan bersepadu.
Beliau berkata tiada kompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah di laut demi memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara.
-- BERNAMA
