AM

'KAPUR PUTIH' BUKAN NOKTAH, PESARA GURU TERUS AKTIF SEBAGAI WARTAWAN

23/05/2026 09:58 AM

Oleh Afifitri Muhammad

KUANTAN, 23 Mei (Bernama) -- Selepas puluhan tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, persaraan bukan noktah buat dua bekas guru di Pahang untuk terus menyumbang kepada masyarakat apabila memilih bidang kewartawanan sambilan sebagai medium meneruskan minat dalam dunia media.

Bercakap kepada Bernama, Salehudin Mat Rasad, 68, berkata penglibatan awal beliau dalam dunia penulisan bermula apabila karya seperti berita, sajak dan cerpen tulisannya disiarkan dalam Utusan Pelajar, penerbitan khas pelajar oleh Utusan Melayu ketika itu.

Beliau berkata kerjaya sebagai stringer Utusan Malaysia Pahang bermula pada 1 Disember 1985 ketika masih bertugas sebagai guru, dengan tugas penulisan, pencarian bahan berita dan liputan dilakukan pada waktu petang, malam serta hujung minggu.

“Selepas bersara, bidang kewartawanan menjadi fokus utama kerana ia memberi ruang untuk saya terus aktif, menyumbang kepada masyarakat dan mengisi masa secara produktif.

“Kerjaya ini juga membantu mengekalkan kecergasan mental dan fizikal kerana tugasan memerlukan saya turun padang ke pelbagai lokasi di seluruh Pahang,” kata Salehudin yang berkhidmat selama 38 tahun sebagai pendidik dengan pengkhususan dalam Bahasa Malaysia selain pernah mengajar subjek Geografi dan Sejarah.

Anak kelahiran Kampung Serambi, Pekan itu berkata pengalaman sebagai guru banyak membantu dalam tugasan kewartawanan kerana profesion itu mendedahkan beliau kepada pelbagai latar belakang masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.

“Sebagai guru, saya terbiasa mendengar, memerhati dan memahami emosi manusia. Kemahiran itu amat membantu dalam menghasilkan laporan berita yang lebih seimbang, berfakta dan dekat dengan realiti masyarakat,” katanya.

Beliau berkata perkembangan teknologi turut mengubah cara kerja wartawan berbanding era 1980-an yang memerlukan laporan dibacakan melalui telefon atau dihantar menggunakan mesin faks.

“Ketika itu, kemudahan telefon awam juga terhad dan hanya terdapat di bandar utama. Hari ini, teknologi membolehkan berita dihantar dalam tempoh yang sangat pantas,” katanya.

Seorang lagi pesara guru, Amir Hamzah Nordin, 66, berkata minatnya dalam dunia media bermula sejak di bangku sekolah menengah sebelum dikembangkan secara aktif ketika bergelar pendidik.

Menurutnya beliau menerbitkan buletin sekolah secara bulanan menggunakan helaian kertas A4 yang memuatkan aktiviti sekolah dan karya murid, selain dilantik sebagai ahli jawatankuasa majalah sekolah serta Ketua Pengarang majalah “Suara Guru” terbitan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Amir Hamzah berkata beliau mula bergiat sebagai stringer Harian Watan pada 1995 sebelum menyertai Berita Harian pada 1997 hingga Oktober 2018 dan kembali aktif bersama The New Straits Times Press (NSTP) pada April 2023.

“Walaupun aktif sebagai stringer ketika menjadi guru, saya tidak pernah mengabaikan tugas hakiki dan pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata antara pengalaman paling diingati ialah ketika membuat liputan nahas pesawat ringan yang terhempas di Sungai Tembeling pada 1990 apabila terpaksa mendapatkan bantuan jurufoto akhbar lain untuk merakam gambar di lokasi kejadian.

“Jurufoto tersebut membalingkan filem kamera dari lokasi bangkai pesawat di dalam sungai kepada saya yang berada di daratan. Kemudian saya meminta bantuan seorang wartawan akhbar lain yang mahu pulang ke Kuantan untuk menghantar filem itu bagi diproses,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerjaya sebagai stringer selepas bersara memberi kepuasan kerana dapat terus aktif di samping membantu masyarakat menerusi laporan berita yang membuka peluang bantuan kepada golongan memerlukan.

“Ada satu kes membabitkan rakyat Malaysia yang koma ketika melancong di Ho Chi Minh, Vietnam dan memerlukan bantuan kewangan. Penulisan berita itu secara tidak langsung membantu mendapatkan sumbangan untuknya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan