AM

PEKEBUN RUMAH HIJAU DIGALAKKAN AMAL KAEDAH PERTANIAN TANPA RACUN SERANGGA, BAHAN KIMIA BERBAHAYA

23/05/2026 12:36 PM

KUANTAN, 23 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggalakkan pekebun dan petani yang mengusahakan tanaman secara rumah hijau di Cameron Highlands mengamalkan kaedah pertanian tanpa penggunaan racun serangga serta bahan kimia berbahaya.

Kesultanan Pahang menerusi kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah amalan pertanian yang lebih selamat, moden dan mesra alam amat penting bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti tinggi, selamat dimakan serta mampu memelihara kelestarian alam sekitar di kawasan tanah tinggi berkenaan.

Baginda bertitah pihak kerajaan Belanda bersama syarikat dari negara itu telah berkongsi banyak input, teknologi serta kaedah pertanian moden yang bernas kepada petani di Cameron Highlands dalam usaha meningkatkan mutu serta produktiviti hasil pertanian tempatan.

Malah, pendekatan pertanian moden yang diperkenalkan, termasuk penggunaan teknologi pintar dan kaedah kawalan biologi mampu membantu petani mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga dan bahan kimia berbahaya.

“Sehubungan dengan itu, baginda turut menyarankan kerajaan negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus mengkaji, dan memperkenalkan kaedah baharu dalam sektor pertanian moden bagi meningkatkan keyakinan petani di Pahang untuk beralih kepada sistem pertanian yang lebih mampan serta berteknologi tinggi.

"Baginda bertitah usaha tersebut adalah penting bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman yang lebih berkualiti, berdaya saing serta kompetitif untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh sektor pertanian negeri sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, Sultan Pahang turut berharap petani di negeri ini dapat memanfaatkan segala ilmu, teknologi dan kepakaran yang dikongsikan demi memastikan sektor pertanian di Cameron Highlands terus berkembang secara mampan, moden dan berdaya saing.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan