KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- McDonald’s Malaysia meningkatkan tumpuan terhadap francais sebagai pemacu utama pertumbuhan sambil mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk menyertai strategi pengembangan syarikat di seluruh negara, disokong pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata fasa pertumbuhan syarikat seterusnya akan berteraskan ekosistem francais yang kukuh, direka untuk memperkasakan pemilik perniagaan dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai pengendali aktif dan terlibat secara langsung.
Dari segi strategi pengembangan di Semenanjung dan Malaysia Timur, Azmir berkata McDonald's tidak menetapkan jumlah peratusan yang rigid atau statik kerana syarikat mahu kekal fleksibel mengikut permintaan pasaran.
Beliau berkata Malaysia Timur merupakan kawasan pertumbuhan strategik yang utama, dengan permintaan kukuh dan belum diterokai sepenuhnya di Sabah dan Sarawak serta tidak dapat dipenuhi sepenuhnya oleh cawangan sedia ada.
“Walaupun Semenanjung Malaysia akan terus menyaksikan pengembangan yang stabil di kawasan perbandaran baharu, sebahagian besar momentum pertumbuhan syarikat dan pelaksanaan awal akan tertumpu kepada memperkukuh kehadiran di wilayah Malaysia Timur,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk memperluas rangkaian francais sehingga merangkumi 30 peratus daripada perniagaan menjelang 2035, dengan tumpuan untuk memperkasakan usahawan tempatan berbanding beralih kepada model yang dipacu sepenuhnya oleh korporat.
“Pembukaan francais McDonald’s moden memerlukan pelaburan yang besar disebabkan teknologi yang canggih, sistem dapur yang sofistikated serta lokasi premium, namun ia kekal sebagai model perniagaan yang terbukti dan berdaya tahan.
“Kami sedang mencari usahawan tempatan dan pemimpin perniagaan yang bersemangat serta bersedia untuk terlibat secara aktif sebagai pemilik-pengendali,” katanya dalam temu bual bersama Bernama sempena Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata McDonald’s Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan calon yang berkelayakan, disokong oleh hubungan kukuh dengan institusi kewangan tempatan bagi menyediakan laluan pemilikan francais yang telus dan mampan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Azmir berkata sebanyak RM600 juta daripada keseluruhan pelaburan RM1 bilion akan diperuntukkan bagi pembukaan 100 restoran baharu di seluruh negara, manakala baki RM400 juta lagi akan digunakan untuk memodenkan restoran sedia ada serta meningkatkan keupayaan digital di Semenanjung dan Malaysia Timur.
Beliau berkata francaisi yang ideal perlu terdiri daripada pemimpin berorientasikan komuniti, memahami dinamik pasaran tempatan serta komited dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang positif.
Mengenai penciptaan peluang pekerjaan, beliau berkata strategi pengembangan itu menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan baharu yang disokong oleh dasar pengambilan 100 peratus pekerja tempatan.
“Dasar pengambilan 100 peratus pekerja tempatan merupakan teras utama identiti kami sebagai sebuah syarikat Malaysia,” katanya sambil menambah Akademi Vokasional McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) telah melatih lebih 5,000 belia sejak 2018, dengan lebih 80 peratus daripada mereka kekal membina kerjaya jangka panjang bersama syarikat itu.
Azmir berkata McDonald’s Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025 walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar, sekali gus mengukuhkan daya tahan model perniagaannya.
“Apabila anda bekerjasama dengan McDonald’s, anda bukan sekadar membuka sebuah restoran. Anda menyertai satu sistem yang dibina atas rantaian bekalan yang kukuh, inovasi menu yang berterusan serta keupayaan digital yang mantap,” katanya.
-- BERNAMA
