AM > BERITA

AKTIVITI PLOGGING BERI IMPAK POSITIF TERHADAP KELESTARIAN ALAM SEKITAR - NIK NAZMI

22/04/2024 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Aktiviti plogging iaitu beriadah sambil mengutip sampah yang lazimnya dilaksanakan di Sweden, dilihat mampu memberikan impak positif terhadap kelestarian alam sekitar di negara ini jika ia dilaksanakan secara meluas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata aktivitu itu juga, mampu memupuk semangat kekitaan dan penghayatan terhadap aspek penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

“Kita tahu sekarang bahawa ada permintaan tinggi untuk aktiviti fizikal dan riadah. Sekarang kita lihat di sekitar taman-taman, hutan-hutan bandar ataupun urban forest dan sebagainya, memang banyak aktiviti riadah dijalankan.

“Malah, kita juga tahu ada beberapa tempat yang kita masih lagi berdepan dengan masalah sampah dan kebersihan. Jadi, kalau kita gabungkan kedua-dua aktiviti itu (beriadah sambil kutip sampah) bagi saya ia akan memberi impak lebih positif kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program plogging sempena Hari Bumi 2024, bertemakan ‘Planet vs Plastic’ anjuran Kedutaan Sweden di Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus.

Selain itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata pihaknya juga sentiasa mencari ruang dan platform, bagi melaksanakan jalinan kerjasama dalam menggerakkan program-program kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan merupakan antara rakan kongsi yang banyak dilibatkan dalam program alam sekitar, bagi memastikan elemen kelestarian alam boleh diterapkan dalam kalangan pelajar menerusi pelaksanaan aktiviti di sekolah.

“Kita pun tahu kesedaran dalam kalangan anak muda sangat tinggi dalam isu alam sekitar, jadi kalau boleh kita mahu kembangkan dan terapkan lagi. Kita mahu kesedaran itu ada di seluruh negara, bukan di tempat-tempat tertentu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi menyertai aktiviti plogging bersama-sama pelajar-pelajar sekolah, warga kerja Bernama, pegawai-pegawai kedutaan dan kementerian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan