AM > BERITA

KPM SERAH SIASATAN KES GURU PUKUL RAKAN SEKERJA KEPADA POLIS

23/04/2024 04:44 PM

GUA MUSANG, 23 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes seorang guru lelaki dipercayai memukul rakan sekerjanya di sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman, Terengganu, Ahad lepas.

Menteri berkaitan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan polis berhubung kes itu.

“Kes itu sedang dalam siasatan dan kita menyerahkan kepada polis dan kementerian akur dengan semua tindakan yang dibuat polis,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text di bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dilapor berkata guru lelaki terbabit berusia 49 tahun ditahan di sebuah kuarters guru kira-kira 9.30 malam semalam.

Sementara itu, mengulas isu vape menggunakan cecair jenis magic mushroom yang dijual secara berleluasa dan dimiliki dalam kalangan pelajar sekolah, Fadhlina berkata perkara itu dalam perhatian pihaknya.

“Pengarah bahagian sekolah harian juga telah dimaklumkan soal itu dan pihak sekolah telah mengeluarkan garis panduan pengharaman vape di sekolah-sekolah,” katanya sambil menambah ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka.

Tambahnya sekiranya pelajar menghisap dan membawa vape di sekolah, guru-guru boleh mengambil tindakan tetapi di luar sekolah mereka perlu diawasi ibu bapa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan