AM > BERITA

LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH: RM651 JUTA PAMPASAN DIBAYAR KEPADA PEMILIK TANAH

23/04/2024 05:18 PM

KOTA KINABALU, 23 April (Bernama) -- Sebanyak RM651 juta jumlah pampasan telah dibayar kepada 1,591 pemilik tanah dan struktur yang terlibat dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pembayaran pampasan hingga 2019 itu melibatkan 12 pakej di bawah seliaan Rakan Penyampai  Projek (PDP).

“Pakej-pakej itu termasuk menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia, Kampung Melalia ke Beaufort, Beaufort ke Bongawan, Bongawan ke Papar, Papar ke Donggongon, Putatan ke Inanam, Inanam ke Sepanggar dan Sepanggar ke bulatan Berungis.

"Ia turut merangkumi pembinaan jalan dari Pituru ke Rampayan Laut, menaik taraf jalan dari Tawau ke Semporna (Pakej Satu, Fasa Dua), membina jalan Lahad Datu Bypass dan menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung jumlah keseluruhan pampasan dan pemilik tanah yang telah dibayar bagi setiap pakej di bawah PDP projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Shahelmey berkata setakat 1 April lepas, sebanyak RM1.147 bilion pampasan telah dibayar kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Beliau berkata jumlah pampasan tanah dan struktur di Sarawak rendah berbanding di Sabah kerana koridor jalan sedia ada di negeri itu adalah selebar 100 meter, tetapi koridor sedia ada di sini selebar 30 meter sahaja.

Katanya, secara dasar pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak adalah untuk menaik taraf Jalan Persekutuan utama sedia ada, namun Jalan Persekutuan itu hanya ada satu lorong dua hala yang kemudian dinaik taraf kepada dua lorong dua hala.

“Maka ia melibatkan pengambilan tanah yang lebar. Dalam pengambilalihan tanah, Sarawak kurang pampasan berbanding dengan Sabah. Ia melibatkan bukan sahaja mengambil alih tanah, tetapi pembayaran ganti rugi rumah-rumah ataupun struktur-struktur yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata maklumat terperinci akan diberikan secara bertulis selepas mendapat informasi daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan