AM > BERITA

MOHD NA'IM BERLEPAS KE ARAB SAUDI BAGI LAWATAN KERJA, TUNAI HAJI

08/06/2024 09:29 AM

SEPANG, 8 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berangkat ke Arab Saudi tengah malam tadi bagi mengadakan lawatan kerja serta menunaikan haji.

Mohd Na'im yang diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Md Ramzi Ishak, akan berada di sana sehingga 20 Jun ini.

Mohd Na’im berkata fokus lawatan kerja kali ini adalah untuk melihat sendiri operasi masyair (kemuncak ibadat haji yang bermula di Arafah, Muzdalifah dan Mina) yang dilaksanakan TH serta menyantuni jemaah haji negara.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) juga menerima jemputan dari kerajaan Arab Saudi untuk menghadiri 'Grand Hajj Symposium' pada Isnin depan di Makkah Chamber, dihadiri menteri yang terlibat dengan urusan haji di negara masing-masing.

"Melalui simposium yang dianjurkan ini, diharap kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi terutamanya TH, JAWHAR serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi diperkukuhkan.

"Dalam simposium itu akan ada perbincangan, mesyuarat dengan jemaah haji bersama menteri-menteri agama dan haji untuk melihat persediaan yang dijalankan oleh pihak haji dan umrah dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam menguruskan jemaah haji dari seluruh dunia," katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Mohd Na'im bersama 283 jemaah haji menaiki penerbangan KT097 yang berlepas pada 12.45 tengah malam tadi.

Beliau dijangka menginap di Abraj Al-Janadriyah yang juga Ibu Pejabat TH di Makkah, bagi memudahkan bertanya khabar dan memantau kebajikan jemaah haji.

Mohd Na'im berkata setakat ini 93 peratus atau 29,483 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci. 

Baki tujuh peratus atau 2,117 jemaah dijangka sampai di Arab Saudi Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan