AM > BERITA

KETUA JABATAN LAKU KESALAHAN JIKA TAK AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEGAWAI TERLIBAT RASUAH, SALAH LAKU

14/06/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) senada dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bahawa ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat dengan salah laku dan rasuah boleh dianggap melakukan kesalahan. 

Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata ketua jabatan sebagai pemimpin perlu ada sifat berani untuk bertindak dan menjauhi perkara yang membawa kepada pelanggaran etika serta peraturan dalam perkhidmatan awam. 

"Sekiranya ketua jabatan yang mempunyai kuasa untuk bertindak menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sudah tentu organisasi akan menjadi lebih kompeten dan berdaya maju.

"Salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat kita tegah, termasuklah menyembunyikan atau membiarkan salah laku tersebut terus berlaku," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Semalam, media melaporkan Pengerusi EAIC Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata penjawat awam yang terbabit salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang daripada sistem, termasuklah ketua jabatan yang dikenal pasti melindungi perbuatan itu, bagi memastikan perkhidmatan awam negara dapat diselamatkan.

Adnan berkata syor EAIC untuk tidak 'menyimpan' penjawat awam yang melakukan perbuatan itu sememangnya boleh dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang telah mewartakan tatakelakuan dan pengurusan tatatertib penjawat awam dengan jelas sebagai panduan semua ketua jabatan.

Peraturan itu, antara lain menetapkan seorang penjawat awam boleh dikenakan tindakan atau hukuman seperti amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja jika didapati bersalah melanggar peruntukan dalam peraturan yang ditetapkan, tambah beliau. 

Menerusi kenyataan sama, Adnan berkata Cuepacs bagaimanapun yakin hanya segelintir kumpulan ketua jabatan daripada agensi penguatkuasaan tertentu yang tidak ambil peduli dengan isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan kakitangan mereka.

"Cuepacs berharap semua penjawat awam tidak kira peringkat jawatan mengambil peranan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan