AM > BERITA

KUMPULAN KLINIK IKRAM SASAR 50 CAWANGAN DI SELURUH NEGARA PADA 2027

20/06/2024 01:10 PM

KUALA NERUS, 20 Jun (Bernama) -- Kumpulan Klinik Ikram, milik penuh bumiputera menyasarkan untuk memiliki 50 cawangan klinik di seluruh negara pada akhir 2027.  

Ahli Lembaga Pengarahnya, Dr Ahmad Samhan Awang berkata jumlah itu merupakan pertambahan sebanyak 42 cawangan daripada lapan sedia ada di Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata sasaran itu dibuat berdasarkan permintaan meningkat dengan mendadak terhadap segmen penjagaan kesihatan daripada golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi.

“Lapan cawangan sedia ada adalah lima di Terengganu, dua di Kuala Lumpur dan satu di Kelantan. Untuk tahun ini, insya-Allah kita akan buka dua lagi klinik, masing-masing di Shah Alam, Selangor dan Alor Setar, Kedah.

“Untuk perancangan sehingga 2027, kita merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di Lembah Klang, Johor dan utara tanah air kerana terdapat permintaan yang tinggi dan sebagai strategi untuk meluaskan rangkaian kumpulan,” katanya ketika ditemui di Klinik Ikram Gong Badak, di sini.

Ahmad Samhan berkata langkah itu juga untuk memudahkan orang ramai mendapatkan servis kesihatan bagi tempoh 24 jam dan perkhidmatan doktor ke rumah.

Katanya di Pantai Timur khususnya, tidak banyak klinik yang menawarkan perkhidmatan tersebut kerana kurang kepakaran dan tenaga kerja.

Katanya kos untuk pembukaan sesebuah klinik termasuk kerja ubah suai, peralatan, ubat-ubatan dan  kakitangan adalah sekitar RM500,000.

“Dari awal penubuhan pada 2018, Klinik Ikram sememangnya memberi fokus kepada dua jenis perkhidmatan ini yang jarang ditawarkan. Kita mempunyai doktor dan jururawat yang terlatih serta mahir untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut.

“Permintaan terhadap perkhidmatan doktor ke rumah dalam tempoh beberapa tahun ini amat menggalakkan. Kebanyakan pelanggan yang tinggal jauh menggunakan perkhidmatan ini untuk merawat ibu bapa mereka di kampung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan