AM > BERITA

TALENT CORP PERUNTUK RM60,000 SOKONG INVEST4GOOD DI LAHAD DATU

20/06/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperuntukkan kira-kira RM60,000 menerusi inisiatif Malaysia at Heart (MyHeart) bagi menyokong program Invest4Good di Lahad Datu, Sabah yang akan bermula Ogos ini.

Dalam kenyataan hari ini agensi itu berkata peruntukan bagi program yang turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan Social Value Malaysia (SVM) itu akan memperkasa 60 guru sekolah di Lahad Datu untuk membolehkan mereka melatih lebih 120 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam asas Robotik serta kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan ke dalam pembelajaran.

TalentCorp berkata perkara itu diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dalam satu program anjuran TalentCorp, yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), di London baru-baru ini.   

"Inisiatif MyHeart oleh TalentCorp menunjukkan komitmen KESUMA terhadap pembangunan bakat dan modal insan yang merangkumi rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara. Kami amat berbangga kerana dapat menyokong rakyat Malaysia di luar negara untuk menyumbang pengetahuan dan pengalaman mereka demi manfaat tanah air," kata Sim dalam kenyataan sama.

Beliau berkata Invest4Good untuk Sabah memainkan peranan penting dalam membuka peluang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada anak-anak di sekolah.

Sementara itu TalentCorp berkata Inisiatif MyHeart berfungsi sebagai platform menghubungkan komuniti diaspora Malaysia yang bertujuan membuka potensi mereka untuk menyumbang secara bermakna kepada kemajuan negara.

“Ia beroperasi melalui lima modul utama iaitu kolaborasi, rangkaian global, peluang kerjaya serta insentif dan fasilitasi untuk rakyat Malaysia yang ingin kembali ke dalam negara, usaha-usaha ini adalah untuk mengoptimumkan bakat rakyat Malaysia serta memacu ke arah mewujudkan hab bakat Malaysia yang dinamik," menurut kenyataan itu.

TalentCorp berkata dalam program di London itu juga, Sim memperkenalkan inisiatif MyHeart Innovate, sebuah program berdurasi tiga bulan untuk rakyat Malaysia di luar negara yang bercita-cita untuk menubuhkan syarikat pemula di Malaysia.

"Kerjasama antara Cradle dan BEYOND4 menawarkan laluan lebih tersusun bagi usahawan baharu memperoleh kemahiran keusahawanan, mendapatkan pandangan pasaran lebih mendalam, serta akses kepada mentor berpengalaman, pakar industri, serta potensi pembiayaan perniagaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan rakyat Malaysia di luar negara boleh memohon untuk menyertai inisiatif ini melalui TalentCorp MyHeart Innovate, manakala mereka yang di dalam negara pula boleh mengemukakan permohonan menerusi program TalentCorp MyNext Innovate.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan