AM > BERITA

LEBIH 960 SPESIES KUPU-KUPU DITEMUKAN DI BORNEO

20/06/2024 06:21 PM

KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Lebih 960 spesies kupu-kupu ditemukan di Borneo dan 81 daripada spesies berkenaan ialah endemik, kata Timbalan Ketua Konservator (Penyelidikan dan Pembangunan) Dr Arthur Y.C Chung.

Beliau berkata alam semula jadi di Borneo, dengan 15 jenis hutan yang berbeza terutamanya hutan gunung, menyediakan habitat semula jadi bagi kupu-kupu tropika untuk berkembang dengan baik.

"Kita mempunyai hutan gunung seperti (Gunung) Kinabalu, Banjaran Crocker, (Gunung) Trusmadi … kita juga ada hutan dipterokarpa campuran, dipterokarpa bukit dan tanah rendah yang sangat kaya dengan biodiversiti," katanya ketika berucap semasa pelancaran buku bertajuk A Guide to Butterflies of Borneo di sini hari ini.

Buku itu dilancarkan oleh Presiden The Singapore Gardening Society Tan Jiew Hoe yang turut dihadiri Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan dan Pengarah Natural History Publication (Borneo) Chan Hin Ching.

Chung yang juga penulis utama buku berkenaan berkata beliau gembira kerana selepas lima tahun menunggu, buku terbabit berjaya dihasilkan, memaparkan gambaran kepelbagaian dan keindahan kupu-kupu di Borneo.

Beliau turut berkongsi mengenai kupu-kupu bersayap burung Rajah Brooke dengan nama saintifik Trogonoptera brookiana, yang merupakan kupu-kupu kebangsaan Malaysia, dan kupu-kupu sayap burung Kinabalu atau dikenali sebagai Troides andromache, kupu-kupu jarang jumpa yang diisytiharkan sebagai kupu-kupu negeri Sabah.

Kupu-kupu Rajah Brooke ditemui oleh Sir Alfred Russel Wallace dan dinamakan bersempena dengan James Brooke, Raja Putih Sarawak dari 1841 hingga 1868, manakala kupu-kupu Kinabalu pula diisytiharkan sebagai kupu-kupu negeri Sabah oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri pada Oktober tahun lepas.

Sementara itu, Tan berkata karya komprehensif buku itu menandakan peristiwa penting dalam kajian kupu-kupu, menawarkan rujukan muktamad untuk meneroka dunia kupu-kupu Borneo yang mempesonakan, sambil menjadi mercu tanda pengetahuan, menerangi keindahan dan kepelbagaian keajaiban serangga bersayap itu di Borneo.

"Buku ini bukan sahaja membongkar misteri kupu-kupu, tetapi juga menghargai peranan penting serangga itu dalam ekosistem," kata Tan.

Buku berharga antara RM180 hingga RM200 itu setebal 436 halaman dengan gambar berwarna 158 spesies kupu-kupu yang memukau dengan tiga subspesies, bertujuan meningkatkan kesedaran dan meraikan kepelbagaian kupu-kupu tropika daripada spesimen eksotik dan besar kepada yang biasa dijumpai di Borneo.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan