AM > BERITA

CHE KEM CABAR DIRI BAWA WATAK HAJI MURAT

25/06/2024 12:07 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Aktor Kamarulzaman Taib mengakui bukan mudah untuk membawa watak Haji Murat dalam teater bertajuk Haji Murat yang bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, bermula esok hingga 29 Jun ini.

Lebih dikenali sebagai Che Kem, beliau  berkata watak itu sarat dengan emosi selain melibatkan gerakan-gerakan fizikal, memerlukan persiapan yang cukup rapi dari segi mental dan fizikal.

"Watak ini begitu mencabar dan sangat berbeza dengan apa yang saya ketahui. Saya akui rasa gerun untuk menerimanya.  Apatah lagi ia tunjang utama kepada teater ini. Namun, saya terima tawaran sebagai cabaran meneroka satu watak yang hebat," katanya kepada Bernama.

Haji Murat, karya terakhir sasterawan Rusia Leo Tolstoy, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia Dr Victor Pogadaev dan disunting oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, sebelum diterbitkan DBP pada 2001.

Che Kem yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia, berkata Haji Murat adalah pejuang Chechen yang hidup di abad ke-19 dan merupakan watak yang sangat signifikan dalam konflik di antara Rusia dan Chechen sekitar 1840 hingga 1852.

"Haji Murat secara asasnya bukan pejuang Melayu. Oleh itu, budaya, cara berfikir, gerak badan dan tingkah laku menjadi perkara asas yang perlu saya jelmakan, bagi meyakinkan penonton bahawa saya adalah Haji Murat. 

"Untuk itu, saya mencari beberapa ciri persamaan di antara saya dan Haji Murat, kemudian, melalui pembacaan, dokumentari dan sumber video dari Rusia dan Barat, saya mula mengenali dan menyelami perwatakan Haji Murat dan kehidupan bangsanya. Ternyata ia sangat menarik dan penuh cabaran," katanya yang sibuk menjalani latihan sejak Mei lepas.

Justeru, Che Kem yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 itu berharap agar masyarakat dapat menghayati naskhah tersebut yang sarat dengan mesej tentang perjuangan dan kasih sayang. 

"Haji Murat adalah seorang lelaki yang hebat. Luarannya dilihat sebagai pahlawan dan pejuang yang handal serta digeruni oleh musuh, namun beliau sebenarnya seperti lelaki biasa yang mengasihi isteri, ibu dan anak-anaknya.

"Beliau terperangkap di antara kekejaman dua musuh yang menjadikan keluarganya sebagai taruhan sehingga membawa kepada tragedi yang kejam," katanya yang berharap lebih banyak karya penulis agung dapat dipentaskan, dan seterusnya diterima baik oleh masyarakat.

Teater arahan A Wahab Hamzah itu adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentanginya, kerana ingin membalas dendam. 

Selain Che Kem, teater ini turut membariskan barisan pelakon teater hebat seperti Dr Rosdeen Suboh, Badrul Tahir, Ard Omar dan Rasdi Daud.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan