AM > BERITA

TEKUN SALUR RM9.44 BILION KEPADA USAHAWAN SEJAK 1998

29/06/2024 07:03 PM

BUTTERWORTH, 29 Jun (Bernama) --  Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan berjumlah RM9.44 billion kepada 581,697 usahawan sejak penubuhannya pada 1998 hingga Mei lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pada tahun ini TEKUN Nasional menyasarkan untuk menyalurkan RM800 juta kepada 45,670 usahawan informal dan mikro di seluruh negara.

"Ini bermakna, TEKUN Nasional akan menggunakan peruntukan dalaman sebanyak RM470 juta termasuk RM30 juta untuk pelaksanaan Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) kerana melalui Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober lepas, kerajaan telah memperuntukkan RM330 juta kepada TEKUN Nasional.

"Bagi 2024, TEKUN Nasional telah meluluskan 19,438 pembiayaan berjumlah RM401 juta di seluruh negara manakala bagi Pulau Pinang sebanyak 682 pembiayaan berjumlah RM12.7 juta telah diluluskan melalui tujuh pejabat cawangan TEKUN yang memberi perkhidmatan kepada 13 kawasan Parlimen di seluruh negeri itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TEKUN MADANI Pulau Pinang di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan serta Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ewon berkata penganjuran karnival tiga hari bermula semalam dengan sasaran 80,000 pengunjung itu mengembalikan nostalgia penubuhan TEKUN Nasional di Universiti Sains Malaysia (USM), dekat sini pada 1998.

Beliau berkata Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta untuk penubuhan dan pengoperasian TEKUN Nasional di seluruh negara.

"Penganjuran Karnival TEKUN MADANI merupakan inisiatif TEKUN Nasional untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan informal dan mikro serta rakan kolaborasi memasarkan produk serta perkhidmatan secara lebih meluas.

"Ia juga merupakan platform perkongsian secara bersemuka mengenai inisiatif-inisiatif terkini keusahawanan dan koperasi seperti latihan, geran, produk pembiayaan yang disediakan oleh KUSKOP dan agensi di bawahnya," katanya.

Ewon berharap pelaksanaan program itu dapat merancakkan aktiviti keusahawanan dan sosioekonomi setempat serta meningkatkan daya saing usahawan tempatan selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak “kesejahteraan” yang membawa makna keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan dan segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan.

Pada majlis itu, TEKUN Nasional turut memberi pengiktirafan kepada 10 usahawan berjaya Pulau Pinang dan kriteria pemilihan terbabit berdasarkan prestasi perniagaan yang menunjukkan peningkatan selepas pembiayaan TEKUN Nasional diperoleh dan kaedah bayaran balik yang memuaskan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan