AM > BERITA

SLC AKAN AMBIL LANGKAH TANGANI KESESAKAN PELABUHAN KONTENA TELUK SAPANGAR

09/07/2024 10:05 PM

KOTA KINABALU, 9 Julai (Bernama) -- Majlis Logistik Sabah (SLC) akan mengenal pasti dan melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar selain mengelak keperluan mengenakan surcaj yang boleh membebankan industri dan pengguna tempatan.

Dalam kenyataannya hari ini, SLC berkata pihaknya mengambil maklum mengenai impak susulan isu kesesakan pelaburan itu serta kesan surcaj berkaitan ke atas ekonomi Sabah.

“Susulan rungutan industri baru-baru ini serta isu-isu berkaitan Pelabuhan Sapangar yang diketengahkan dalam media, SLC akan mengadakan beberapa siri mesyuarat dan rundingan segera dengan pihak berkepentingan utama.

“Perbincangan ini bertujuan membangunkan serta melaksanakan strategi yang dapat meningkatkan kecekapan dan kapasiti infrastruktur pelabuhan kita,” katanya.

Langkah itu juga, kata SLC, sejajar dengan hasratnya untuk memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar selain dapat meningkatkan ekonomi Sabah.

Pada masa sama, majlis itu tidak hanya komited untuk menangani kebimbangan berkenaan tetapi turut mewujudkan penyelesaian yang mampan serta bagi jangka panjang.

SLC adalah di bawah naungan Kementerian Kerja Raya Sabah dan dipengerusikan oleh menterinya, Datuk Shahelmey Yahya.

Majlis itu turut dianggotai oleh kalangan wakil sektor awam dan swasta, sekali gus memastikan pendekatan yang komprehensif dan inklusif dalam aspek penyelesaian masalah.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan