AM > BERITA

WARGA KOTA PILIH BAS PULANG KE KAMPUNG KERANA KOS MURAH, DAPAT REHAT

16/06/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pengangkutan awam masih menjadi pilihan ramai warga kota untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidiladha esok.

Tinjauan Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati warga kota memilih menggunakan bas untuk pulang ke kampung halaman kerana harga tambang yang lebih murah dan mempunyai masa yang lebih panjang untuk berehat berbanding memandu kenderaan sendiri.

Seorang pekerja swasta Sugianti Suwarno, 26, berkata dia bersama suami dan dua anaknya memilih menaiki bas ekspres untuk pulang beraya di rumah kakak iparnya di Larkin, Johor kerana ingin mengelakkan daripada terlelap seketika ketika memandu atau micro sleep.

“Saya akan pulang beraya sehingga Khamis ini. Saya pilih menaiki bas sebab lebih selamat kerana bawa anak kecil dan elak dari micro sleep sebab memandu ketika jalan sesak.

“Tiket bas juga kami baru beli di kiosk tadi, masih ada banyak lagi dan harga tiket masih kekal seperti dulu,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja restoran makanan segera Nor Shakila Tomin, 31, berkata dia sudah beberapa tahun memilih menaiki bas kerana lebih selamat dan tiba tepat pada waktunya.

“Saya akan pulang beraya ke Parit Buntar, Perak. Perjalanan jauh, jadi saya lebih selesa menaiki bas kerana boleh berehat dan selamat,” katanya.

Selain itu, seorang guru tadika Muhamad Azlan Adnan, 32, berkata dia dan adik perempuannya memilih menaiki bas ke Georgetown, Pulau Pinang kerana tidak mahu berasa penat memandu dalam keadaan kenderaan sesak.

“Saya dan adik pernah menempuh kesesakan lebuh raya pada musim perayaan selama tujuh jam, kami amat penat dan badan terasa sangat lenguh, jadi kami pilih menaiki bas berbanding memandu sendiri,” katanya yang turut menambah harga tiket bas masih seperti biasa.

Sementara itu, pemerhatian Bernama di kiosk penjualan tiket dan paparan skrin di TBS mendapati tiket bas untuk pulang ke Pantai Timur pada sebelah pagi dan petang telah habis dijual, namun bagi sebelah malam tiket masih boleh dibeli tetapi terhad. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan