AM > BERITA

PAKEJ RAHMAH PRABAYAR SISWA BUKTI KERAJAAN CAKNA BANTU PELAJAR - ZAMBRY

17/07/2024 01:24 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang diumumkan Kementerian Komunikasi semalam, membuktikan bahawa kerajaan dan pihak terlibat sentiasa cakna dan prihatin untuk membantu mengurangkan beban mahasiswa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman itu dan merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak atas inisiatif berkenaan.

"Kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan Internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata dalam pakej yang ditawarkan pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari itu, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran, tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa ditawarkan khusus kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

Pakej itu boleh dilanggan bermula 16 Ogos nanti menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan