AM > BERITA

HARI TEKNOLOGI LGM 2024 SAJI ACARA MENARIK

18/07/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pelbagai acara menarik disediakan pada sambutan Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia 2024, yang dijadual berlangsung dua hari bermula 23 Julai di Akademi Hevea Malaysia, Sungai Buloh.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Operasi) Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wan Ahmad Asmady Wan Md Din berkata antara acara yang disediakan ialah seminar pekebun kecil, Bengkel Getah LGM 2024, klinik getah, kuiz serta permainan congkak menggunakan biji getah.

“Pengunjung yang hadir juga akan berpeluang memenangi hadiah utama iaitu skuter elektrik dalam acara cabutan bertuah,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

 Wan Ahmad Asmady berkata selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai teknologi yang digunakan dalam industri getah, tujuan utama sambutan adalah untuk menyatukan pemain industri, pengguna teknologi getah dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) LGM Dr Mok Kok Lang berkata pada sambutan yang bakal dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, masyarakat juga berpeluang melihat produk dihasilkan LGM sepanjang 99 tahun penyelidikan, pada pameran yang diadakan itu nanti.

“Masyarakat dapat melihat produk getah seperti High damping Rubber Bearing yang digunakan di   Jambatan Kedua Pulau Pinang.

“Selain itu, masyarakat dapat juga melihat produk getah seperti ‘Hydrobest ‘ yang digunakan dalam sektor huluan, bagi meningkatkan lagi pengeluaran getah sehingga 30 peratus,” katanya.

Hydrobest adalah bahan perangsang lateks berasaskan air dengan dua tujuan iaitu untuk meningkatkan produktiviti pokok dan meminimumkan kejadian kekeringan kulit pokok.

Pada 23 Julai, turut akan diadakan ialah pelancaran logo 100 tahun Penyelidikan Getah, RRIM e-Formulary dan pertukaran Perjanjian Pengkomersialan antara LGM dan Bina Intergrated Industries Sdn Bhd.

Pekebun kecil juga dijemput hadir mendaftar bantuan subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI pada sambutan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan