AM > BERITA

MUSIM DURIAN: NIKMATI ‘RAJA BUAH’ SECARA BERPADA

19/07/2024 03:52 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Setiap kali tiba musim durian pastinya ramai dalam kalangan rakyat di negara ini yang tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan dan kelazatan raja buah itu.

Biarpun harganya ada yang mencecah sehingga RM60 hingga RM80 sekilogram, terutama dari jenis Duri Hitam (Black Thorn), Musang King, IOI; namun ia bukan penghalang bagi penggemar durian untuk terus ‘memburu durian’ terutama di gerai-gerai jualan yang viral di media sosial demi mendapatkan tawaran terbaik.

Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari bahawa raja buah itu mampu mendatangkan mudarat jika diambil secara berlebihan, terutama bagi mereka yang mengidap penyakit seperti kencing manis, hipertensi, serta individu yang mempunyai masalah pencernaan dan buah pinggang.

Pensyarah Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata durian boleh mendatangkan beberapa kesan kesihatan terutama terhadap pesakit kronik selain boleh menyebabkan masalah pencernaan, peningkatan kalori dan kandungan gula dalam badan serta tekanan darah.

“Durian kaya dengan serat dan boleh menyebabkan kembung perut atau masalah pencernaan jika dimakan berlebihan. (Selain itu) Durian adalah buah yang tinggi kalori. Pengambilan berlebihan boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan.

“Raja buah itu juga mempunyai kandungan gula yang tinggi yang boleh meningkatkan kadar gula dalam darah terutama bagi mereka yang mempunyai diabetes atau pra-diabetes. Bagi mereka yang mempunyai masalah buah pinggang pula, durian mengandungi kalium yang boleh mempengaruhi tekanan darah,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu beliau tidak menyarankan pesakit diabetes, pesakit hipertensi, individu dengan masalah pencernaan dan buah pinggang untuk memakan durian.

Beliau berkata walaupun buah berkenaan enak, namun ia harus dinikmati secara sederhana dan dihadkan pengambilan kepada satu atau dua biji atau dua hingga tiga ulas sahaja dalam satu sesi selain perlu perlu diseimbangkan dengan diet seharian.

Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Raihanah Shafie berkata individu yang ingin menurunkan berat badan perlu berwaspada terhadap kuantiti durian yang dimakan kerana ia padat dengan kandungan gula serta kalori.

“Untuk makluman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar pengambilan gula tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah tenaga harian, iaitu bersamaan tidak melebihi 50 gram pengambilan jumlah ‘gula bebas’ dalam sehari.

“Ini bersamaan tidak lebih daripada 10 sudu kecil/teh bagi jumlah pengambilan gula bebas sehari. Apabila makan durian, disarankan juga untuk menghadkan pengambilan makanan dan minuman yang manis agar tidak membebankan sistem badan untuk memproses gula yang dimakan,” katanya.

Pakar kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula menasihatkan supaya peminat durian memilih durian yang berkualiti ketika membelinya.

“Semua orang boleh makan (durian). Cuma jangan terlalu banyak terutamanya kepada pesakit diabetes, obesiti dan juga wanita hamil.

“Makanlah secara sederhana seperti setengah biji atau sebiji mengikut saiz buah itu dan boleh diulang-ulang. Tetapi jangan terlalu kerap. Contohnya satu ke dua hari sekali semasa musim. Pilihlah durian yang berkualiti, biar sedikit tapi yang bagus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan