AM > BERITA

INSTITUSI KPM PERLU PATUH GARIS PANDUAN ANJUR PROGRAM, TERIMA SUMBANGAN

22/07/2024 09:02 AM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) - Pentadbir di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkam garis panduan itu antaranya melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

"Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan pelbagai program kesedaran serta pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah, bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.

Justeru, kementerian itu mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Isu ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan