AM > BERITA

SARAWAK BAKAL JADI PEMAIN METANOL GLOBAL DENGAN PELANCARAN KOMPLEKS PENGELUARAN BERNILAI RM7 BILION

22/07/2024 05:12 PM

BINTULU, 22 Julai (Bernama) -- Sarawak bakal menjadi pemain utama pasaran metanol global dengan pelancaran Kompleks Metanol Sarawak Petchem bernilai RM7 bilion di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.  

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu merupakan satu lagi pelaburan utama di negeri ini yang berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi pembangunan ekonomi, pertumbuhan mampan dan keterangkuman sosial. 

“Dengan pencapaian ini, kita boleh berbangga bahawa Sarawak akan menjadi salah satu pengeluar metanol global, yang mampu mengeluarkan sehingga 1.75 juta tan metrik setahun,” katanya pada pelancaran kompleks itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek metanol itu merupakan satu daripada enam projek pemangkin yang dikenal pasti untuk meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sarawak dengan tambahan RM34 bilion menjelang 2030.

"Saya menantikan projek besar lain yang boleh memantapkan sektor pembuatan kami seperti projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu. Saya menaruh harapan tinggi agar kedua-dua projek ini dapat direalisasikan sebelum 2030," katanya.

Abang Johari berkata projek loji metanol menyediakan platform untuk membangunkan tenaga kerja mahir sambil mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurutnya, kepulangan tenaga kerja anak Sarawak dari luar negara dan Semenanjung Malaysia untuk menyertai Sarawak Petchem menunjukkan bahawa permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi akan terus menjadi keperluan mendesak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Pendidikan dan pembangunan modal insan adalah komponen penting dalam meningkatkan kecekapan pekerja dan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai. Sehubungan itu, saya ingin menyeru tenaga kerja kita di luar negara untuk kembali dan terlibat secara aktif dalam usaha 'pembinaan negara’ ini," katanya.

Beliau berkata kesan riak ekonomi akan dirasai merentas pelbagai sektor, memupuk daya tahan dan kemakmuran ekonomi selaras dengan aspirasi untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita yang tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan