AM > BERITA

AGROMARKETING MASTERCLASS: TIKTOK SHOP EDITION OLEH FAMA MAMPU TINGKAT PENDAPATAN USAHAWAN

23/07/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalin kerjasama strategik dengan TikTok Shop bagi menganjurkan program komprehensif ‘Agromarketing Masterclass: TikTok Shop Edition’ sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan pendapatan usahawan.

Program rintis itu melibatkan penyertaan 80 syarikat berdaftar FAMA terpilih dari seluruh Malaysia yang menghasilkan produk agromakanan segar dan proses, termasuk 12 syarikat usahawan Orang Kurang Upaya (OKU). 

FAMA dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan pertama melibatkan 40 syarikat yang menyertai projek rintis selama tiga hari di Hotel Seri Pacific di sini, pada 7 hingga 9 Jun, manakala kumpulan kedua melibatkan 40 lagi syarikat yang menyertai program sama di Komune Living and Wellness dari 5 hingga 7 Julai. 

“Bagi kumpulan pertama, sebanyak 175 unit penyimpanan stok (SKU) iaitu produk agromakanan segar dan proses telah dibawa masuk ke dalam aplikasi TikTok Shop dan peserta yang merupakan usahawan terpilih FAMA, telah mempelajari kaedah pemasaran menggunakan TikTok Shop dan kaedah penghantaran produk menggunakan perkhidmatan City-Link Express.

“Nilai jualan terkumpul yang diperoleh peserta bagi dua jam sesi langsung (Live) ialah RM12,657.15 manakala nilai jualan terkumpul hingga 30 Jun ialah berjumlah RM340,562.09,” menurut kenyataan itu.

Bagi kumpulan kedua pula, sebanyak 250 SKU produk agromakanan segar dan proses dibawa masuk ke dalam aplikasi TikTok Shop, selain penyedia perkhidmatan Internet, UNIFI turut dijemput bagi memudahkan peserta mendapatkan akses Internet di kawasan operasi masing-masing.

Wow factor dalam program ini ialah sesi perkongsian langsung melalui TikTok Shop oleh usahawan FAMA dari ladang tanaman, ternakan serta premis masing-masing, yang secara tidak langsung menarik minat pengguna,” menurut FAMA. 

Menerusi kerjasama itu, FAMA menyasarkan pendapatan usahawan dapat meningkat sebanyak 50 peratus dan permintaan terhadap produk agromakanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan ternakan juga akan meningkat.

Menurut FAMA program komprehensif itu akan berlangsung dari Jun hingga Disember dan melibatkan empat fasa pelaksanaan iaitu Fasa Latihan, Fasa Pemantauan, Fasa Pertandingan, dan akan berakhir dengan Majlis Anugerah untuk meraikan usahawan FAMA yang berjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan