AM > BERITA

USAHAWAN EMPOWERNCER BERPOTENSI JANA JUALAN RM5 JUTA PADA EKSPO PERDAGANGAN

24/07/2024 12:19 PM

GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) -- Usahawan di bawah program empowerNCER anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dijangka berpotensi menjana jualan sebanyak RM5 juta melalui tiga ekspo perdagangan yang akan berlangsung pada Julai dan September ini.

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam satu kenyataan berkata tiga eskpo berkenaan adalah Malaysia Fest Singapore, Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata 31 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menyertai tiga ekspo itu di bawah Pavilion NCER, ia merupakan platform terbaik kepada PMKS untuk meneroka pasaran eksport dan meningkatkan daya saing bagi merebut peluang menjadi pembekal kepada syarikat besar di peringkat antarabangsa.

"Sejak 2019 sehingga Disember tahun lepas, NCIA telah membantu seramai 102 PMKS untuk menyertai pelbagai ekspo perdagangan sekali gus mencatatkan jumlah nilai eksport melalui memorandum perjanjian (MoA) direalisasikan bernilai RM5.61 juta selain menjana jualan terkumpul RM1.17 juta.

“NCIA telah mempersiapkan setiap PMKS dengan kemahiran dan strategi perniagaan tepat bagi mempermudahkan mereka menyertai sesi padanan perniagaan dengan potensi pelanggan serta menyediakan ruang untuk mereka menjalin hubungan dengan pelbagai pihak berkaitan dalam industri yang disasarkan,” katanya.

Mohamad Haris berkata NCIA sentiasa komited untuk memperkukuh ekosistem perniagaan di NCER melalui program anjuran NCER selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025.

Penyediaan ekosistem perniagaan adalah penting bagi memastikan setiap sektor ekonomi mampu beradaptasi dan berevolusi seiring dengan perkembangan pesat ekonomi tempatan dan antarabangsa, katanya.

Ekspo Malaysia Fest Singapore akan berlangsung pada 25 hingga 28 Julai di Singapura manakala MAHA bermula 11 hingga 22 September diikuti MIHAS pada 17 hingga 20 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan