EKONOMI > BERITA

SC GESA KEKAL KUALITI AUDIT TINGGI UNTUK ENTITI KEPENTINGAN AWAM

24/07/2024 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Firma audit digesa mempergiat usaha untuk mencapai prestasi yang konsisten merentas semua tugasan audit entiti kepentingan awam (PIE), kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SC dalam kenyataan hari ini turut menekankan kepentingan membangunkan bakat dan menangani kebimbangan beban kerja kakitangan untuk mengekalkan audit berkualiti tinggi secara konsisten.

“Kualiti audit merupakan tanggungjawab bersama, justeru Lembaga Pemantauan Audit (AOB) terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk memacu penambahbaikan dalam ekosistem pelaporan kewangan,” katanya.

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2023 memaklumkan terdapat sedikit peningkatan dalam prestasi juruaudit pada tahun sama.

Menurut laporan itu, terdapat penurunan dalam peratusan tugasan diperiksa yang disalurkan untuk penguatkuasaan, kepada 16 peratus pada 2023 daripada 18 peratus pada 2022.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan keseluruhan dalam tugasan yang memerlukan langkah pemulihan khusus, iaitu perkara yang diawasi oleh AOB dengan teliti.

“Langkah-langkah ini, yang dikenakan ke atas firma audit dan rakan kongsi tugasan, bertujuan memacu peningkatan dalam bidang keraguan profesional juruaudit dan kepakaran teknikal dalam piawaian pengauditan dan perakaunan yang berkaitan,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan AOB pada 2023 meliputi penilaian 50 rakan kongsi dan 50 tugasan audit merentas 15 firma audit, termasuk sembilan firma audit utama.

Firma ini mengaudit 78 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat tersenarai awam (PLC), mewakili 95 peratus daripada jumlah permodalan pasaran PLC di Malaysia.

Sembilan firma audit utama itu turut secara kolektif mengaudit 1,188 kumpulan wang jadual (SF) dengan nilai aset bersih (NAB) sebanyak RM675 bilion, iaitu 97 peratus daripada jumlah NAB SF di Malaysia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan