AM > BERITA

FELDA TAJA 38 GENERASI BAHARU LANJUT PENGAJIAN

24/07/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Seramai 38 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 terdiri generasi baharu Felda menerima tajaan RM130,000 setiap seorang bagi memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda bidang teknologi maklumat (IT) dan teknologi. 

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata inisiatif pendidikan melalui program Global Digital Leadership (GDL) itu satu daripada usaha untuk memperkasakan pelajar cemerlang Felda menguasai kemahiran dalam bidang kepimpinan digital global.

Inisiatif itu juga bertujuan melahirkan generasi baharu Felda yang memiliki pengetahuan tinggi dan mahir dalam bidang digital yang semakin penting pada masa kini.

“Seiring kemajuan teknologi, pelajar mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan menerima pakai teknologi baharu. Anda semua mampu menjadi ejen perubahan dalam memperkenalkan teknologi yang berupaya meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam pelbagai sektor.

“Tidak mustahil suatu hari ini anda semua bakal menjadi pakar kepada negara dalam mengutarakan pandangan dan penciptaan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak,” katanya.

Shabery berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tajaan Program GDL dengan kerjasama Asia pacific university of Technology & Innovation (APU) di sini hari ini.

Ditemui selepas majlis itu, Shabery berkata kerjasama strategik awam swasta antara Felda dan APU yang dimulakan sejak 2022 secara keseluruhan memanfaatkan seramai 88 pelajar.

Beliau berkata nilai tajaan RM130,000 untuk setiap pelajar itu bagi menampung keseluruhan pengajian.

Sementara itu, seorang penerima Puteri Nur Adibah Sakinah,18, berkata tajaan berkenaan memberi peluang mencapai cita-citanya dalam bidang kejuruteraan perisian supaya dapat memberi manfaat semula kepada Felda pada masa akan datang.

"Saya memang berminat dengan bidang ini kerana berjinak-jinak dalam program robotik semenjak di sekolah menengah lagi," kata cucu kepada peneroka Felda Air Tawar 5 itu.

Seorang lagi penerima Zeti Qurshiah Juhari, 20, berkata tajaan itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan tajaan lain dari segi manfaat yang diterima.

"Tajaan ini mempunyai lebih banyak nilai kerana pelajar diberikan elaun, tempat duduk dan tidak perlu bayar semula dan kami hanya perlu menumpukan kepada pelajaran untuk menyumbang semula kepada Felda," katanya yang menyambung pengajian dalam bidang keselamatan siber. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan