AM > BERITA

RAMANAN SERAH ELAUN, GAJI KEPADA RUMAH IBADAT SEKITAR SG BULOH

25/07/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan Datuk R Ramanan mengotakan janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menyerahkan gaji dan elaun kedua-dua jawatan itu untuk rumah ibadat sekitar parlimen diwakilnya, hari ini. 

Beliau berkata sepanjang 2023 hingga bulan ini, RM452,000 elaun dan gajinya telah disumbangkan kepada rumah-rumah ibadat termasuk surau, masjid, kuil Hindu dan Buddha, tokong, gereja selain persatuan dan organisasi keagamaan.

Sejumlah RM332,000 diserahkan kepada 72 rumah ibadat pada 2023 manakala RM120,000 lagi kepada kira-kira 100 rumah ibadat dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Selain mengotakan janji, pemberian kesemua gaji dan elaun ini juga merupakan penghargaan saya kepada pengundi berbilang bangsa di Parlimen ini yang telah menyokong saya selama ini. Jadi pengurusan rumah ibadat boleh gunakan duit ini bantu golongan B40 yang memerlukan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil lapan rumah ibadat di beberapa lokasi sekitar Sungai Buloh hari ini. 

Ramanan berkata beliau berikrar mahu memastikan setiap rumah ibadat di kawasannya mendapat sumbangan berkenaan,  dengan amaun yang disalurkan bergantung kepada jumlah penganut dan keperluan rumah ibadat berkenaan. 

“Setiap dua bulan sekali gaji dan elaun saya bahagikan kepada semua rumah ibadat di sekitar Sungai Buloh, ini merupakan tambahan daripada peruntukan selain daripada yang diberikan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh,” katanya. 

Sementara itu Pengerusi Surah Al-Hidayah Saujana Utama Mohd Rosli Hussien berterima kasih kepada Ramanan kerana memilih surau tersebut untuk menerima sumbangan dan ia amat bermanfaat bagi  membantu golongan B40 serta anak yatim piatu sekitar kawasan itu. 

“Ini kali kedua Yang Berhormat (Ramanan) berikan sumbangan pada surau kita, tahun lepas bagi RM2,500, kali ini RM3,000 ada penambahan.. syukur, kesemuanya digunakan untuk kebajikan kariah masjid selain daripada pembangunan surau,” katanya. 

Ahli Jawatankuasa Gereja Asaripu Kudaram Anglican, Steven John Perumal pula berkata selain untuk kebajikan kanak-kanak, sumbangan itu juga digunakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, keluarga miskin mendapatkan barangan keperluan asas.

Beliau berkata penerima bantuan sangat menghargai usaha Ahli Parlimen itu yang memberikan bantuan tanpa mengira warna kulit, agama, mahu pun bangsa.

Bagi Pengurus Tokong Wee Leng Keng Kampung Matang Pagar, Thee Seng Kok, 67, pemberian sumbangan itu merupakan bukti Ramanan mengotakan janjinya, dan beliau meminta wakil rakyat lain agar mencontohi sifat terpuji itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan