AM > BERITA

MCMC REKRUT 11,335 SUKARELAWAN ICT MALAYSIA SEJAK 2016, SASAR 1,500 TAHUN INI

25/07/2024 11:00 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melalui inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) telah merekrut serta melatih sejumlah 11,335 sukarelawan sejak diperkenal pada 2016.

Tahun ini, MCMC menyasarkan untuk merekrut sejumlah 1,500 sukarelawan di seluruh negara.

Bagi memastikan maklumat diterima oleh semua lapisan masyarakat termasuk penduduk di luar bandar, para sukarelawan MIV terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah, pelajar institusi pengajian tinggi serta ahli komuniti setempat.

“Selain memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital, sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan mengenai penggunaan Internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Antara topik KDB yang dikongsi kepada komuniti ialah buli siber, jenayah penipuan serta perlindungan kanak dalam talian bagi pendidik pengguna Internet khususnya pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.

Sesi perkongsian KDB turut membabitkan guru dan ibu bapa supaya mereka dapat menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak termasuk golongan kurang upaya serta mereka yang berisiko terdedah kepada ancaman dalam talian.

Pelaksanaan MIV menyaksikan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan dan ia turut diperluas kepada komuniti yang memiliki Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Menurut MCMC, pada 2023 sebanyak 498 program MIV telah dilaksana di seluruh negara dengan capaian audiens lebih 2.3 juta manakala bagi program KDB, sejumlah 569 program telah dilaksana dengan capaian audiens melebihi 540,000.

Menurut kenyataan itu, MCMC akan terus memperhebat program-program advokasi bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan MIV boleh mendaftar di https://miv.mcmc.gov.my/en/application/registration.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan