AM > BERITA

Tuntut Sabah: Setiap Inci Kedaulatan Negara Dipertahan, Tiada Tolak Ansur - Anwar

30/07/2024 01:39 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus mempertahankan setiap inci kedaulatan negara dan tidak sesekali bertolak ansur terhadap sebarang tuntutan, termasuk yang berkaitan Sabah.

"Tuntutan Filipina terhadap Sabah.. kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur satu inci tanah rakyat kita, tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan yang melibatkan hak dan kedaulatan negara," katanya.

Anwar berkata walaupun ada tuntutan Filipina terhadap Sabah, namun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara itu amat baik, termasuk hubungan peribadi beliau dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr yang berada di tahap yang sangat rapat dan akrab.

"Oleh itu jalur ini harus dimanfaatkan untuk menjaga keselamatan. Pasukan kita harus mengerti sejarah telah membuktikan bahawa serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lepas berlaku dalam keadaan tidak diduga," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini tular satu video di media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas, mengelirukan serta mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, dan semalam Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan pendirian kerajaan bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia.

Menurut kenyataan itu Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan