AM > BERITA

Insiden Pelanggaran: Kapal Tangki MT Hafnia Nile, MT Ceres 1 Ditahan

30/07/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kapal tangki MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 ditahan bagi membantu siasatan susulan insiden pelanggaran melibatkan kedua-dua kapal tangki terbabit pada 19 Julai lepas di 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Balau, Johor.

Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM) Kapten Mohamad Halim Ahmed berkata kes itu disiasat mengikut Ordinan Kapal Saudagar (MSO) 1952/60.

Beliau berkata ketika kejadian, kapal Ceres 1 yang berlabuh akibat masalah teknikal dilanggar Hafnia Nile yang gagal mengelak kapal berkenaan menyebabkan bahagian ‘port’ Hafnia Nile terlanggar ‘starboard bulbous bow’ Ceres 1.

“Akibat pelanggaran itu kedua-dua kapal terbakar dan rantai sauh Kapal Ceres 1 di bahagian starboard terputus dan menyebabkan kapal berkenaan hanyut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ceres 1 yang membawa 26 anak kapal itu ialah kapal Chemical/Oil Products Tanker tanpa kargo dan membawa 26 anak kapal serta dalam pelayaran menuju Lanshan, China.

Sementara itu, Hafnia Nile pula ialah kapal Oil Products Tanker membawa muatan ‘Naphtha’ bersama 22 anak kapal dan sedang dalam pelayaran ke Kashima, Jepun.

Siasatan awal mendapati tiada tumpahan minyak dikesan akibat pelanggaran itu.   

Susulan itu, Mohamad Halim berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan melibatkan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Polis Marin.

“Kapal Ceres 1 dihanyutkan kira-kira 30 batu nautika sebelum ditemukan di timur laut Pulau Tioman ketika sedang ditunda dua bot tunda dipercayai dari Singapura pada 21 Julai.

“Laporan sebelum ini mengatakan kapal itu meninggalkan lokasi selepas berlakunya pelanggaran adalah tidak tepat kerana semua sistem termasuk Sistem Pengenalan Automatik (AIS) yang digunakan untuk mengesan kapal juga tidak berfungsi,” katanya.

Kesemua 22 anak kapal Hafnia Nile diselamatkan oleh Kapal RSS Supreme milik Tentera Laut Republik Singapura dan sedang dirawat di Hospital Awam Singapura, manakala kru Ceres 1 masih berada di atas kapal dan kesemua mereka bukan warga tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan