AM > BERITA

Rakyat Kedah Diseru Kunjungi Lokasi Konvoi KMJG 2024

03/08/2024 04:30 PM

PENDANG, 3 Ogos (Bernama) -- Rakyat Kedah diseru menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan mengunjungi lokasi yang akan dikunjungi konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024, di negeri itu.

Pegawai Daerah Pendang Nasrun Mohd Sheriff berkata konvoi yang disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan itu berada di Kedah selama empat hari bermula semalam dan rakyat diharap dapat memeriahkannya di lokasi yang akan dikunjungi.

“Kita seharusnya berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun. Jadi pada yang mempunyai bendera pastikan ia dikibar setinggi mungkin, jangan letak di atas kerusi dan duduk di atas bendera.

“Semoga semangat patriotik yang dibawa (oleh peserta konvoi KMJG) menjadi contoh dan memberi semangat khususnya kepada anak-anak muda untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dan berbangga menjadi rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan peserta konvoi KMJG 2024 peringkat Kedah di Pusat Kokurikulum Pendang di Sungai Tiang, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah Nasrudin Mahmud, di sini hari ini.

Nasrun berkata kibaran Jalur Gemilang oleh setiap individu akan menampakkan semangat patriotik dalam diri, yang harus sentiasa ditonjolkan sebagai menghargai erti kebebasan dan kemerdekaan yang dikecapi.

“Erti kemerdekaan membawa makna yang sangat besar dalam diri kita rakyat Malaysia dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana dapat menikmati kebebasan dan kemerdekaan, serta menikmati keselesaan hasil daripada perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang terdahulu,” katanya.

Konvoi KMJG 2024 di Kedah bermula di pejabat Jabatan Penerangan Daerah Baling, petang semalam dan berada di Pusat Kokurikulum Pendang pagi tadi disusuli di Institut Latihan Perindustrian Jitra pada petang ini.

Esok, KMJG 2024 dijangka berada di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Alor Setar pada sebelah petang dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Isnin yang menjadi destinasi terakhir di Kedah sebelum konvoi bergerak ke Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan