6,619 Kes Jenayah Komersial Babitkan Kerugian RM68.5 Juta Di Perak

03/08/2024 06:44 PM

IPOH, 3 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 6,619 kes jenayah komersial direkodkan di Perak melibatkan kerugian melebihi RM68.5 juta dari Januari hingga 31 Julai lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata jumlah itu menurun sebanyak 12.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 7,586 kes. 

"Untuk tempoh sama juga sebanyak 613 kertas siasatan dituduh di mahkamah berbanding 589 pertuduhan pada 2023," katanya kepada pemberita selepas sesi Bual Bicara Jenayah dan Buli Siber, Bijak Bertindak sempena Bazar Buku Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini. 

Beliau berkata bagi tempoh sama sebanyak 1,407 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM55.3 juta, diikuti tipu secara bersemuka sebanyak 60 kes dengan kerugian RM1.9 juta.

Azizi berkata kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) memberi kesan yang baik kepada penurunan kes dan diharap masyarakat akan lebih peka serta ambil tahu tentang penipuan termasuk penipuan dalam talian.

"Orang ramai boleh membuat panggilan pada nombor 997 untuk mendapatkan maklumat dan kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan