AM > BERITA

Malaysia Sokong Panduan Dasar APEC Bangun Rangka Kerja Hidrogen Rendah Karbon - Fadillah

17/08/2024 09:41 AM

Daripada Nurul Hanis Izmir

LIMA (PERU), 17 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyokong pelancaran Panduan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk membangun dan melaksanakan Rangka Kerja Dasar Hidrogen Rendah Karbon di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata panduan dasar itu akan menyediakan kerangka kerja yang kukuh sebagai rujukan kepada ekonomi APEC untuk membangunkan strategi hidrogen yang menyeluruh dan berkesan.

“Inisiatif kolektif ini bukan sahaja menyokong objektif ekonomi APEC malah menyumbang kepada agenda penyahkarbonan di peringkat global. 

“Selain itu, panduan dasar ini turut menggalakkan dan memudahcara perkongsian amalan terbaik dan rantaian nilai, inovasi dan penyelidikan, pemindahan teknologi dan pelaburan serta kesedaran awam mengenai bidang hidrogen di kalangan ekonomi APEC,” katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-14 (EMM-14)  yang berlangsung selama dua hari bermula 15-16 Ogos.

Beliau berkata perbincangan mesyuarat itu turut memberikan tumpuan kepada cabaran dan langkah penyelesaian untuk meningkatkan akses tenaga bagi mencapai pertumbuhan mampan, pembangunan hala tuju dan strategi pembangunan hidrogen serta dokumen rangka kerja dasar hidrogen rendah karbon bagi rantau Asia Pasifik

Selain itu, pada mesyuarat tersebut juga, Fadillah turut berkongsi mengenai Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) Malaysia yang menekankan kepada pendekatan berfasa dalam membangunkan infrastruktur dan industri hidrogen, rangka kerja kawal selia serta penggalakan bersasar bagi meningkatkan pelaburan dalam industri hidrogen tempatan. 

Antara projek utama hidrogen yang diketengahkan adalah Stesen Pengisian Hidrogen Bergerak dan Hab Hidrogen Sarawak yang berpotensi untuk mengangkat Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran hidrogen bersih.

Beliau berpendapat pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP) boleh digunakan untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi hidrogen dalam memacu inisiatif hidrogen tempatan dan menggalakkan penggunaan serta eksport hidrogen.

Mengenai akses tenaga dan pertumbuhan mampan, Fadillah berkata secara umumnya semua ekonomi APEC mengakui kepentingan akses tenaga dalam memacu pertumbuhan mampan. 

“Dalam menggalakkan pembangunan lestari, usaha perlu dipertingkat untuk mengatasi halangan dan memudahkan capaian bekalan tenaga kepada rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, semasa sesi intervensi, Fadillah berkata, bagi melaksanakan agenda pembangunan mampan, akses kepada bekalan elektrik merupakan perkara asas dan penting untuk memastikan semua rakyat di pelbagai peringkat mendapat bekalan terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau turut berkongsi bahawa pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Malaysia adalah berlandaskan kepada empat prinsip utama iaitu menyokong aspirasi pembangunan mampan negara, memastikan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, memperkukuh tadbir urus yang efektif serta memperluas penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam ekosistem tenaga.

Fadillah turut mengetengahkan pendekatan proaktif Malaysia menyokong keterlibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan tenaga lestari melalui pemberian insentif dan geran, memudahcara proses dan prosedur kawal selia dan pengukuhan sistem serta infrastruktur elektrik yang memudahkan akses kepada teknologi tenaga terkini.

Mesyuarat tersebut turut mengeluarkan Kenyataan Bersama EEM-14 APEC (Lima Statement)  yang menekankan komitmen ekonomi APEC untuk meningkatkan kerjasama dan kolaborasi ke arah memacu pembangunan tenaga secara menyeluruh dan lestari di rantau Asia Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan