DUNIA > BERITA

Putera Mahkota Brunei Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia

17/08/2024 01:08 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Putera Mahkota Brunei dan Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 17 hingga 21 Ogos.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah akan diiringi isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad, serta pegawai-pegawai kanan, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Sabtu.

Semasa di Kuala Lumpur, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, disusuli Majlis Santapan bagi meraikan delegasi Brunei.

Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pihak dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Lawatan ini menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei, yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat.

"Ini terutamanya apabila kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM9.31 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan