AM > BERITA

Kedaulatan Negara Tergadai Jika Pegawai Tentera Amal Rasuah, Salah Guna Kuasa - Agong

17/08/2024 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika rasuah dan salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.

Sultan Ibrahim bertitah selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Seri Paduka Baginda tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai ATM yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.

“Kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut sikap jujur dan amanah serta pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi demi mempertahankan kedaulatan negara. Jangan sesekali ada pegawai tentera terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sewaktu Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima ATM Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Penglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan menjadi tanggungjawab kepada semua pegawai tentera untuk menjaga disiplin setiap masa terutama apabila memakai pakaian seragam.

“Jaga tingkah laku dan jangan sekali-kali membuat perkara yang tidak bermaruah. Jangan musnahkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tentera dan jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga," titah Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu sentiasa menitikberatkan nilai-nilai amanah dalam urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.

Seri Paduka Baginda bertitah peralatan yang dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan dan keperluan pertahanan negara dan bukan mengikut telunjuk pembekal atau ejen yang menawarkan komisen.

"Saya sendiri yang akan menilai semua perolehan," titah Sultan Ibrahim.

Kepada pegawai kadet yang ditauliahkan hari ini, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan mereka bahawa perjalanan yang akan ditempuhi masih jauh, kerana ada banyak lagi latihan dan kursus lain yang perlu dihadapi untuk menjadi seorang pegawai tentera yang berkebolehan tinggi.

“Pesanan saya, saudara saudari mesti cekal dan tabah untuk terus berlatih dan menimba ilmu baharu bagi mengharungi keadaan dunia yang semakin mencabar dan menyesuaikan diri dengan teknologi pertahanan terkini.

“Jika ada yang tidak sanggup menghadapi asam garam kehidupan sebagai seorang pegawai tentera, maka silalah keluar baris,” titah Seri Paduka Baginda.

Sebanyak 664 Pegawai Kadet yang ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan, Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai selama enam bulan.

Majlis hari ini menyaksikan Leftenan Muda Ahmad Arif Izudin Mohamad Zin diiktiraf sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan