AM > BERITA

Bahtera Merdeka Bangkit Semangat Patriotisme Moon

19/08/2024 02:10 PM

ALOR SETAR, 19 Ogos (Bernama) -- Susunan muzik yang menarik, melodi dan lirik penuh emosi membuatkan lagu-lagu patriotik bukan saja indah didengar malah menyentuh hati hingga menjadikan ia antara elemen penting dalam menaikkan semangat patriotisme terutama ketika sambutan Bulan Kebangsaan. 

Ini turut diakui seorang wanita berketuruan Siam, Chenkamon Prak Sit, 25,  dari Kampung Titi Akar, Pendang, yang menyifatkan lagu patriotik irama tradisional seperti ‘Bahtera Merdeka’ benar-benar menaikkan semangat patriotisme dalam dirinya selain mengagumi keindahan lirik lagu tersebut.

“Saya amat meminati lagu Bahtera Merdeka kerana alunan muzik dan melodinya serta maksud dalam lagu tersebut amat bermakna dan sangat menaikkan semangat jika dihayati dengan teliti,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Chenkamon atau lebih mesra dengan panggilan Moon berkata lirik lagu tersebut yang berkisar tentang Malaysia setelah berjaya mencapai kemerdekaan, begitu menyentuh kalbu dan sering dinyanyikan olehnya.

 Beliau mengakui pernah merakam video dirinya menyanyikan lagu itu dan memuat naik di media sosial sebelum video tersebut tular hingga mendapat perhatian warga maya yang memuji nyanyiannya.

“Saya menyanyikan lagu patriotik ini sejak sekolah lagi. Semasa di tingkatan tiga seorang guru ada memberitahu bahawa saya mempunyai suara yang sedap, lalu membawa saya menyertai pertandingan nyanyian lagu patriotik peringkat sekolah.

“Tahun berikutnya saya mewakili sekolah untuk pertandingan di peringkat daerah dan semasa menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) saya juga sering buat persembahan,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) itu.

Chenkamon berkata selain lagu patriotik, beliau turut meminati lagu irama Malaysia dan klasik Melayu selain gemarkan syair Melayu yang menurutnya mempunyai maksud mendalam apabila dihayati dengan betul.

Dalam pada itu, beliau berkata golongan muda hari ini perlu sentiasa diterapkan dengan semangat cintakan negara agar tidak mereka melupakan asal-usul keamanan dan keharmoninan hidup yang dikecapi hari ini.

“Kita patut bersyukur kerana hari ini kita hidup dalam keadaan aman dan bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Walaupun saya daripada kaum minoriti, saya lihat peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya diberi kepada semua,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di Pendang.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan