AM > BERITA

Malaysia Mengulangi Komitmen Sokong Usaha Capai Gencatan Senjata, Keamanan Di Gaza

20/08/2024 10:16 AM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia menegaskan komitmennya untuk menyokong usaha mencapai gencatan senjata dan memastikan keamanan yang berkekalan di Gaza di bawah panduan negara-negara utama termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen tersebut disampaikan semasa panggilan telefonnya dengan Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian dan anggota Biro Politik Hamas Dr Basem Naim, semalam, sebelum beliau berlepas ke India untuk lawatan kerja.

“Antara perkara utama perbincangan ialah cadangan Turkiye untuk mengadakan sesi tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menggerakkan pemimpin dunia Islam dalam memberikan tekanan yang lebih kuat ke atas Amerika Syarikat dan sekutunya, serta menggesa mereka supaya memaksa Rejim Zionis Israel untuk segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.

“Alhamdulillah, kerajaan Iran dan Hamas bersetuju serta menyatakan sokongan mereka terhadap inisiatif ini, termasuk konsensus bersama untuk menghulurkan jemputan kepada negara bukan Islam yang membela keadilan dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin, seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland, dan Portugal,” katanya dalam Facebooknya, hari ini.

Anwar berkata tambahan pula, beliau, Dr Masoud dan Dr Basem percaya bahawa sebarang kemajuan yang bermakna ke arah keamanan mesti dimulakan dengan penghentian tanpa syarat semua tindakan ketenteraan dan perbuatan pencerobohan terhadap rakyat Palestin oleh pihak Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan