Enam Keldai Akaun Ditahan Sebabkan Kerugian Lebih RM100,000

20/08/2024 01:11 PM

BALIK PULAU, 20 Ogos (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki dipercayai keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan beberapa mangsa kerugian RM100,815.14 dalam kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemuanya yang berusia 30 hingga 58 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang pada semalam dan Ahad lepas.

"Dalam kes pertama di sini, polis menahan lelaki berusia 38 tahun dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud dalam talian.

"Berdasarkan siasatan, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank yang berbeza termasuk milik suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM45,585," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata penahanan kedua membabitkan lelaki berusia 58 tahun dipercayai keldai akuan kepada sindiket penipuan "phone scam" iaitu menyamar sebagai pihak penghantaran barang dan pegawai polis melibatkan kes di Bayan Lepas.

Kamarul Rizal berkata berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dihubungi sebuah syarikat penghantaran barang memaklumkan barang pos atas namanya mengandungi barang salah iaitu buku cek dan token bank milik orang lain.

Beliau berkata mangsa kemudian diarah menghubungi nombor telefon diberikan untuk membuat laporan polis.

“Mangsa telah berurusan dengan ‘pegawai polis’ yang memintanya membuat pembayaran sekiranya mahu menyelesaikan kes itu dan mengelak ditahan. Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi dalam talian ke akaun bank diberikan membabitkan RM20,400,” katanya.

Kamarul Rizal berkata empat lagi lelaki ditahan kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan melibatkan dua kes pinjaman tidak wujud serta masing-masing satu kes pelaburan tidak wujud dan sewa rumah tidak wujud membabitkan kerugian antara RM750 hingga RM12,084.

Kesemua enam lelaki itu, katanya kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan