EKONOMI > BERITA

Malaysia Mampu Perjuangkan Amalan Lestari Menerusi Industri Aeroangkasa - Liew

20/08/2024 01:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia boleh memperjuangkan amalan lestari dengan memanfaatkan kekuatannya dalam industri aeroangkasa menerusi kerjasama serantau di seluruh ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata kemampanan adalah penting dalam industri aeroangkasa kerana ia menyesuaikan diri dengan permintaan global untuk amalan yang lebih hijau serta menambah bahawa trend seperti bahan api penerbangan mampan, elektrifikasi dan teknologi neutral karbon sedang membentuk masa depan penerbangan.

“Malaysia mempunyai peluang unik untuk memimpin rantau ini dalam kemajuan ini apabila kita menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

“Dengan memanfaatkan kekuatan Malaysia miliki, kita boleh memperjuangkan amalan mampan, memupuk kerjasama serantau dan mempercepatkan penggunaan teknologi hijau di seluruh ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2024 (MyAERO ‘24), di sini hari ini.

Liew berkata Malaysia bukan sahaja harus mengguna teknologi tetapi juga berusaha untuk menjadi inovator (pencipta) dalam industri.

Beliau berkata industri aeroangkasa menghadapi cabaran kerana terdapat hanya beberapa pemain global yang membina pesawat dan industri di Malaysia, sebuah negara kecil dihubungkan secara langsung dengan syarikat global terkemuka sebagai pembekal.

“Bagaimanapun perkara berkenaan tidak boleh menghalang industri aeroangkasa Malaysia daripada menghubungkan secara langsung dengan industri lain di Malaysia seperti industri semikonduktor atau industri yang terlibat dalam pembangunan bahan, bahan kimia atau mineral.

“Terdapat juga banyak potensi untuk menghubungkan industri minyak sawit untuk membangunkan industri bahan api penerbangan yang mampan,” katanya.

Liew berkata menerusi hubungan ini, Malaysia boleh berinovasi dan mencipta produk, proses atau bahan baharu dengan harta intelek Malaysia.

“Malaysia bukan sahaja mahu menjadi hab pembuatan, kita bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang mencipta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan