AM > BERITA

Keluarga Cikgu Istiqomah Diberi Khidmat Psikososial Berterusan - Fadhlina

20/08/2024 11:59 AM

PASIR MAS, 20 Ogos (Bernama) -- Keluarga terutama anak-anak Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi yang masih bersekolah akan diberi khidmat psikososial termasuk kaunseling secara berterusan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pihaknya sudah menyediakan komitmen bagi sokongan psikososial kepada keluarga berkenaan.

"Kita harap ia (kaunseling) diberi secara berterusan dan saya minta Ketua Pengarah (Pendidikan) melihat keperluan untuk menyokong dari pelbagai aspek khususnya bagi anak yang masih bersekolah.

"Saya merakamkan takziah dan pada kesempatan ini kita telah sampaikan sumbangan bagi memberi sokongan kepada keluarga termasuk daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Istiqomah di kediaman mereka di Kampung Kubang Badak di sini hari ini.

Fadhlina berkata selain sumbangan YGTHO, pihaknya turut melihat keperluan lain termasuk pemberian pencen untuk keluarga serta kebajikan untuk anak-anak Allahyarham.

"Sumbangan kebajikan ini turut diberikan kepada anak yang masih bersekolah. Kejadian ini memberi kesan yang menyayat hati apatah lagi Cikgu Istiqomah seorang guru yang sangat berdedikasi dan memberi komitmen sepenuhnya sebagai pendidik.

"Allahyarham sudah lama berkhidmat sebagai pendidik di sekolah rendah di Johor dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan seorang yang komited dengan kerjanya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan