AM > BERITA

Malaysia Terima Lebih 1.4 Juta Pelancong China Setakat Jun

27/08/2024 07:58 PM

SEPANG, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia telah menerima 1,449,711 pelancong dari China setakat Jun 2024, kata Tourism Malaysia.

Jumlah itu adalah peningkatan memberangsangkan sebanyak 190.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 yang menyaksikan 498,540 ketibaan.

Dalam kenyataan hari ini, Tourism Malaysia berkata pengenalan kemasukan tanpa visa untuk pelancong China berkuat kuasa 1 Dis 2023 sehingga 31 Dis 2026 telah meningkatkan pertanyaan dan tempahan ke Malaysia dari China.

Terdahulu pada 25 Ogos, Malaysia turut mengalu-alukan penerbangan sulung 9 Air yang tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

9 Air ialah syarikat penerbangan tambang rendah di China dan satu-satunya syarikat penerbangan tambang murah yang memberi perkhidmatan di Tengah dan Selatan China dengan pangkalan operasi utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun.

Perkhidmatan baharu antara Guiyang dan Kuala Lumpur akan beroperasi setiap minggu, menggunakan pesawat Boeing 737-800 dengan kapasiti 189 penumpang.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy serta wakil dari 9 Air dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) secara peribadi mengalu-alukan penumpang dalam penerbangan AQ1211 dari Guiyang.

Sebelum ini, 9 Air mengendalikan penerbangan ke Thailand, Rusia, Jepun dan Laos dengan Malaysia menjadi tambahan terkini kepada laluan antarabangsanya.

Perkhidmatan baharu ini, khusus untuk pelancong dari Guiyang ke Malaysia, menandakan titik perubahan penting dalam pembangunan pelancongan di Wilayah Guizhou.

“Dengan penerbangan terus ini, pelancong China kini boleh menerokai pelbagai tarikan Malaysia dengan mudah, daripada Menara Berkembar Petronas yang ikonik di Kuala Lumpur ke pantai-pantai indah di Pulau Langkawi, keindahan budaya Melaka dan peluang untuk merasai tarikan kebudayaan unik, mercu tanda bersejarah serta keenakan masakan Malaysia yang terkenal," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan